3 tahun telah berlalu semenjak perkenalan mereka. Baik Zaim mahupun Ira, kedua-duanya telah pun menamatkan pengajian mereka. Zaim yang memang berasal dari Johor telah pun bekerja sebagai seorang jurutera. Manakala Ira yang baru menamatkan pengajian memilih untuk terus menetap dan bekerja di Johor menimba pengalaman di tempat orang.

Hubungan di antara Zaim dan Ira masih berkekalan dan semakin erat. Apatah lagi Zaim sendiri telah bertemu dengan kedua orang tua Ira. Alhamdulillah hubungan kedua mereka mendapat restu dari keluarga Ira. Hanya satu sahaja yang menggusarkan hati Ira, setiap kali Ira menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan orang tua Zaim, pasti ada sahaja alasan Zaim untuk mengelak. Zaim seolah-olah keberatan untuk menemukan Ira dengan kedua orang tuanya. Namun begitu, Zaim cukup komited terhadap hubungan mereka.

Kadang-kadang Ira merasakan yang Zaim tidak serius terhadap perhubungan mereka apabila sering menolak permintaa Ira untuk bertemu dengan keluarga Zaim. Namun begitu, sikap Zaim yang begitu mengambil berat mengenai Ira dan keluarga Ira pula menunjukkan kesungguhan Zaim terhadap perhubungan mereka.

Petang itu Ira dan Zaim telah berjanji untuk menonton wayang bersama-sama. Mereka bertemu di City Square pada waktu yang telah dijanjikan. Pada hujung minggu begini, City Square penuh sesak bukan sahaja dengan rakyat tempatan tapi juga rakyat dari Singapore. Malahan panggung wayang juga telah dibanjiri oleh orang ramai. Zaim pula terlupa untuk menempah tiket terlebih dahulu, akibatnya tiket untuk cerita yang ingin mereka tonton telah kehabisan.

"Macam mana ni Zaim, nak tengok Harry Potter tiket dah habis. Zaim la, Ira suruh tempah awal-awal tak nak"

Zaim hanya tersengih-sengih sahaja menyedari kesalahannya. Bukan dia tidak mahu menempah tiket terlebih dahulu, tapi dia terlupa, apatah lagi terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan.

"Ira masih nak tengok wayang ke? Kalau kita tengok cerita lain boleh tak? Harry Potter yang tinggal pukul 10 malam, Ira pulak yang lambat balik nanti. Kalau tak pun kita jalan-jalan saja sudahlah" ulas Zaim.
"Ala, nak jalan-jalan pun tak best sebab ramai sangat orang. Ira dah lama tak tengok wayang, tapi kalau pukul 10 malam tu tak nak la. Bising Ekin karang balik lambat sangat. Boleh la tengok citer lain, Zaim beli la tiket untuk apa-apa cerita yang menarik"
"Ok, Ira tunggu sini, Zaim pergi tengok tiket ye"
"Ok"

Seketika kemudian Zaim kembali dengan dua keping tiket di tangan. Zaim tersenyum bangga kerana berjaya mendapatkan tiket wayang buat Ira. Ditayang-tayangkannya tiket yang berada di tangannya, bagaikan anak kecil yang girang mendapat permainan baru.

"Cerita apa Zaim?" soal Ira.
"Tajuk cerita Zaim tak pasti, tapi hero dia Rajinikanth. Best wo lakonan dia. Cerita yang dia berlakon selalunya meletup-letup le kat pawagam" ulas Zaim sambil tangannya mengayakan aksi ala-ala hero tamil itu.
"Rajinikanth" melopong Ira mendengar nama yang disebut Zaim.
"Ala, hero tamil yang pemes tu"
"Zaimmmmm.... takkan kita nak tengok cerita tamil??"
"Kenapa pulak tak boleh?? Citer ni pun ok apa, ulasan dekat internet cakap citer ni best. Lagipun kan Ira yg cakap tadi, nak tengok wayang, citer apa-apa pun tak kesah"
"Yela, memang la Ira nak tengok wayang. Tapi takkan la cerita tamil pulak. Ira tak paham la bahasa tamil" Ira menjuihkan bibirnya. Dalam hatinya "apa la, punya banyak cerita, cerita tamil yang dipilihnya".
"Lah, kan ke ada subtitle, baca je la, macam Ira selalu tengok citer cina ngn citer korea tu" ujar Zaim tanpa memahami kemelut di hati Ira yang tidak pernah menonton cerita tamil.

Hendak tak hendak, Ira terpaksa juga mengikut Zaim menonton cerita tamil itu. Hatinya terasa geram dengan telatah Zaim yang tidak ambil peduli tentang ketidaselesaannya untuk menonton cerita itu. Dengan hati yang sebal Ira turutkan sahaja kehendak Zaim yang begitu teruja untuk menonton filem lakonan Rajnikanth itu. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam panggung, Ira menjadi bertambah kesal apabila mendapati hanya mereka berdua sahaja yang berbangsa melayu menonton cerita tersebut.

10 minit kemudian, wayang pun bermula. Ira mula berasa kebosanan di awal cerita. Walaupun sarikata disediakan tapi mindanya tidak mampu untuk mencerna jalan cerita filem tersebut. Berlainan pula dengan Zaim yang kelihatan selesa menonton disebelahnya. Dia kelihatan begitu teruja menonton filem tamil itu, seolah-olah begitu menghayati jalan cerita dan karakter filem hero pujaan hatinya itu. Telatah Zaim itu membuatkan Ira merasa hairan, lalu dia pun mula cuba untuk menghayati cerita tersebut.

"Seronok juga sesekali tengok cerita tamil ni" ujar Ira di dalam hati.

Lama-kelamaan Ira mula tertarik untuk menonton filem itu, dia terus khusyuk menonton sehinggalah ke satu adegan dimana hero diserang oleh penjahat dan berlakulah pergaduhan di antara hero dan penjahat, Ira sendiri telah terikut-ikut gaya dan lagak Rajnikant bertumbuk. Apabila Rajnikant menang di dalam pergaduhan itu, Ira lantas berdiri dan bersorak, "Horeeeeee, cayalah ... hero mana boleh kalah... peewittt".

"Dey, diamlah.. worang sume wayang juga mau tengok"
"Mau tengok wayang kalu dudk diam2lah anee.. apa bising2 ini macam"
"Dey, kasi duduklah.. itu cerita tada nampaklah"

Zaim yang tadinya terpinga-pinga dengan gelagat Ira sebentar tadi pantas menarik tangan Ira untuk duduk. Serasa ingin sahaja dia ketawa sepuas-puas hati mengenangkan telatah Ira itu, namun terpaksa ditahannya kerana tidak ingin membangkitkan kemarahan para penonton lain sekali lagi. Ira yang telah duduk bagaikan cacing yang kepanasan di dalam panggung itu. Mujurlah panggung itu gelap, jika tidak pastilah dia akan berasa lebih malu lagi kerana wajahnya dapat dilihat dengan jelas oleh penonton-penonton lain. Ira menepuk-nepuk kepalanya sendiri, "Ira, ira.. awatla hang ni suka sangat dok malukan diri sendiri ni".

Setelah wayang tamat, Ira sengaja menahan Zaim agar duduk terlebih dahulu dan keluar hanya setelah semua penonton lain beredar pergi.

<~~~~~~~~~~~~~~~~>

Suasana di dalam kereta senyap dan sunyi sahaja. Hanya kedengaran celoteh DJ dari stesen radio Hot.fm. Ira masih lagi cuba untuk melupakan kejadian yang berlaku di dalam panggung tadi. Zaim yang sedang memandu pula sesekali menjeling ke arah Ira. Tiba-tiba meletus tawa yang kuat dari Zaim. Nampaknya Zaim juga masih tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku itu.

"Zaim ni kenapa? Tak pasal-pasal ketawa?" soal Ira geram. 'Ni tak de lain dok gelakkan aku le ni'.
"Takde, Zaim gelak sebab ada orang tu, mula-mula tu beriya-iya dia tak nak tengok cerita tamil. Sekali bila dah tengok, dia pula yang lebih-lebih naik syeh sampai siap buat wayang lagi dalam panggung tadi. Hahahahaha" meledak lagi tawa Zaim.

Satu cubitan singgah di lengan Zaim.

"Aduh, apa ni Ira? Main cubit-cubit pula ni"
"Ketawalah lagi, ketawalah puas-puas. Semua salah Zaim."
"Eh, Zaim pula yang salah, siapa yang over excited sangat masa menonton tadi, hehehe"
"Dah tu, Zaim yang bawa Ira tengok cerita tamil. Zaim la yang salah" marah Ira. Dia lantas memalingkan mukanya menghala ke tingkap.
"Ele, le le, merajuk pulak dia. Sapa merajuk nanti kena lelong tau" usik Zaim lagi.
"Huh"

Zaim hanya tersenyum gelihati. Dia tahu, rajuk Ira tidak akan berpanjangan. Sebentar lagi sejuklah hatinya itu. Memang tidak dinafikan yang Ira agak cuai dan kalutnya orangnya, namun sikap itulah yang membuatkan Zaim tertawan kepada Ira.

"Zaim" panggil Ira.
"Ye" sahut Zaim. 'Dah sejuklah hati dia tu.. hehehe'
"Bila Zaim nak kenalkan Ira dengan parents Zaim?"
"Erm, nantilah." 'Kenapalah soalan ni pula yang ditanyanya?'
"Nanti tu bila?" soal Ira kembali.
"Nantilah, bila sampai masa yang sesuai"
"Masa yang sesuai? Zaim, kita kan dah lama kenal. Kalau bukan sekarang, habis tu bila lagi?"
"Ira, sabarlah. Sampai masanya nanti Zaim sendiri akan bawa Ira jumpa mama dengan ayah, tapi bukan sekarang" ujar Zaim memujuk.
"Asyik asyik nanti. Nanti, nanti, nanti. Dari dulu sampai sekarang asyik itu je yang Ira dengar. Zaim sendiri pun dah jumpa dengan parents Ira kan? Jadi salah ke kalau Ira nak jumpa dengan parents Zaim pula? Kita pun dah lama kenal. Actually Zaim ni serius ke tak dengan hubungan kita ni?" bidas Ira. Dia geram dengan sikap Zaim yang asyik beralasan apabila diminta berjumpa dengan ibubapa Zaim.
"Iraaaa. Kenapa cakap macam tu. Of coursela Zaim serius dengan hubungan ni. I really love you Ira and I am damn serious with our relationshop. It just, it is not the right time yet for you to meet my parent" luah Zaim bernada kesal dengan tuduhan Ira itu.

"Ira dah bosan dengar alasan Zaim. Entah bila la masa yang sesuai tu nak sampai" bidas Ira kembali.
"Kenapa dengan Ira ni? Takkan tunggu pun tak boleh? By the way, kenapa yang Ira beriya-iya sangat nak jumpa dengan parents Zaim? Kalau tak jumpa bukannya kita tak boleh berkawan." Zaim mula naik angin. Dia merasakan yang Ira terlalu mendesaknya.
"Sebab Ira bukan sekadar nak kita berkawan sahaja, kalau boleh Ira nak kita kekal bersama selama-lamanya, Ira nak kita kahwin, jadi kena le kenal-kenal dulu dengan parents Zaim, dapatkan restu mereka, baru kita boleh kahwin.. ops" Ira baru tersedar yang dia telah terlepas cakap.

Senyuman terukir di bibir Zaim. Dia dapat mendengar dengan jelas setiap patah perkataan yang Ira ucapkan. Dia yakin dan pasti yang Ira benar-benar cintakannya. Itulah juga hasrat hatinya, mahukan perhubungan mereka ini bersatu di jinjang pelamin. Zaim mencapai telefon bimbitnya dan terus mendail nombor seseorang. Ira tertanya-tanya sendiri apa yang ingin Zaim lakukan. Talian bersambut, dengan menggunakan kit bebas tangan Zaim memulakan perbualan.

"Assalamualaikum mama. Mama kat mana sekarang?".
"Waalaikumsalam. Mama di rumah la sekarang. Kenapa sayang?"
"Zaim nak ajak kawan makan malam di rumah la malam ni mama. Mama tunggu di rumah ye."
"Kawan? Lelaki ke perempuan? Tak pernah-pernah Zaim bawa balik kawan."
"Ada la mama, nanti mama kenal le dengan kawan Zaim tu"
"Oklah, nanti mama suruh Mak Jah masak"
"Ok, thanks mama. Bye"
"Bye"

Terlopong Ira apabila mengetahui yang Zaim sebenarnya berbual dengan ibunya sebentar tadi. Lebih memeranjatkan apabila Zaim hendak terus mempertemukan dia dengan ibu Zaim sedangkan dia langsung tidak bersedia untuk terus bertemu dengan ibu Zaim. Sangkanya apabila hal ini dibangkitkan, Zaim akan menetapkan masa dalam waktu yang terdekat ini dari asyik berlengah. Tapi lain pula yang jadinya.

"Kita balik rumah Zaim dulu, jumpa mama Zaim, lepas makan baru Zaim hantar Ira balik ye" ujar Zaim.
"Zaim, takkan malam ni juga nak jumpa mama Zaim."
"Yela, kenapa? Bukan ke Ira yang beriya-iya nak jumpa dengan mama tadi"
Memangla, tapi tiba-tiba je ajak malam. Ira dah la pakai blaus dengan jeans aje, macam tak sopan la nak jumpa mama Zaim. Hari pun dah malam ni." adu Ira.
"Kenapa pula tak sopan? Ok je baju Ira tu. Bukan baju yang nak jumpa mama, tapi Ira.". 'Tadi beriya-iya nak jumpa, dah orang nak bawak tak nak pulak, alahai perempuan. Susahnya nak faham.'
"Erm.. oklah". 'Nanti kalau aku menolak lagi, langsung tak nak bawa pula aku jumpa mak dia'.

Akhirnya Ira mengalah. Hatinya berdebar-debar kerana akan bertemu dengan ibu Zaim. Dia berdoa agar semuanya akan berjalan dengan lancar.

<~~~~~~~~~~~~~>
ADA SAMBUNGAN LAGI...

Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia