Zaim memberhentikan keretanya di simpang masuk ke rumah sewa Ira. Sebuah keluhan berat terlepas dari mulut Zaim. Ira memandang ke arah Zaim kehairanan.

“Zaim, kenapa berhenti di sini?” soal Ira.

“Ira. Zaim minta maaf atas apa yang terjadi tadi. Zaim dah jangkakan penerimaan mama terhadap Ira. Itu sebabnya Zaim berat hati nak bawa Ira jumpa mama. Sebenarnya mama nak jodohkan Zaim dengan anak Auntie Maisara. Dari dulu lagi, dari Zaim kecil lagi mama dan Auntie Maisara dah beriya-iya nak berbesan. Zaim je yang tak mahu. Zaim dah anggap anak Auntie Maisara tu macam adik Zaim sendiri. Dari kecil kami membesar bersama-sama, main bersama macam adik beradik, Alisha sendiri pun dah anggap Zaim macam abang dia sendiri. Cuma mama je yang tak boleh terima. Mama tetap mahukan Zaim peristerikan Alisha. Itu sebabnya tadi mama layan Ira acuh tak acuh aja. Maafkan Zaim, Ira, sebab tak berterus terang dengan Ira dari awal lagi”. Satu keluhan berat terluah dari mulut Zaim.

“Erm” hanya itu yang terluah dari mulut Ira. Lidahnya terasa kelu selepas mendengar penjelasan dari Zaim. Rupa-rupanya itulah punca kenapa Zaim sering menangguhkan permintaan Ira untuk bertemu dengan Mama Zaim, Puan Normah. Timbul rasa bersalah di hati Ira kerana telah menuduh Zaim tidak bersungguh-sungguh dengan hubungan mereka.

“Zaim juga nak minta maaf atas apa yang telah papa lakukan. Memang Zaim tahu yang papa pantang nampak perempuan cantik, mesti nak dikacaunya. Tapi tak sangka pula teman wanita Zaim sendiri hendak diganggunya. Gatal punya orang tua, tak guna betul. Tua tak sedar diri. Ada hati nak mengorat Ira. “ luah Zaim penuh kegeraman. Sehingga kini apabila teringat kembali perbuatan papanya itu terhadap Ira membuatkan hatinya semakin geram. Kalau tidak kerana En. Hamid itu papanya, suami kepada mamanya, sudah pasti penumbuknya melayang ke wajah En. Hamid.

“Zaim, sudahlah tu. Walaupun Ira tak suka diperlakukan sebegitu, tapi tak baik Zaim marah-marah papa Zaim macam tu. Kalau takde papa Zaim, Zaim pun takde tau. Apa yang dah berlaku tak dapat diubah, mungkin ini ujian Allah buat Ira” tegur Ira dengan harapan Zaim dapat bertenang.

“Papa tu sebenarnya bukan ayah kandung Zaim, dia cuma ayah tiri Zaim. Zaim dah cuba sayang dia macam sayang ayah sendiri, tapi entahlah.” Perlahan suara Zaim menuturkannya.

Berita ini merupakan suatu kejutan buat Ira. Sebelum ini Zaim langsung tidak pernah bercerita mengenai keluarganya kepada Ira.

“Mama dan abah bercerai semasa Zaim berumur setahun lebih. Perkahwinan mama dan abah sebenarnya dirancang oleh atuk dan tokwan. Abah hanya menurut sahaja sebab abah memang bukan anak yang suka membantah. Berlainan pula dengan Mama. Mama menolak cadangan atuk sekeras-kerasnya. Tapi mama tak mampu nak ubah keputusan atuk, akhirnya mama mengalah dan berkahwin dengan abah sebab mama tak mahu jadi anak derhaka. “ Zaim menghembuskan nafas seolah-olah melepaskan lelah.

“Dua tahun selepas berkahwin, mama hamilkan Zaim. Menurut cakap atuk, abahlah orang yang gembira bila dapat tahu yang mama dah mengandung. Walaupun layanan mama terhadap abah dingin, abah tetap bersabar dengan sikap mama. Atuk pula berharap selepas mama lahirkan Zaim, mama dapat terima abah sepenuh hati. Alhamdulillah, sepanjang masa mama mengandungkan Zaim, mama mula lembut hati terhadap abah. Abah rasa bersyukur sangat-sangat sebab mama dah boleh menerima abah sehinggakan abah buat kenduri di masjid untuk orang-orang susah. Masa tu mungkin mama dah terima hakikat yang dia isteri abah. Tapi, kegembiraan tu tak lama, setahun lepas Zaim dilahirkan, mama bertemu kembali dengan papa. Rupa-rupanya mama dan papa dah lama kenal sebelum mama berkahwin dengan abah lagi. Papa kekasih mama di sekolah. Kerana papalah, mama membantah cadangan atuk. Pertemuan semula mereka secara tak sengaja diikuti dengan pertemuan seterusnya dan membuahkan kembali cinta mereka. Abah pula langsung tak tahu yang mama sering bertemu dengan papa di belakangnya."

Zaim meraut wajahnya, sehingga hari ini, hatinya terasa pedih setiap kali mengenangkan kisah yang berlaku di antara papa dan mamanya. Ira mengusap lembut bahu Zaim. Dia membiarkan sahaja Zaim meluahkan kesedihan yang terbuku di hatinya selama ini.

"Bila abah dapat tahu tentang hal ni, mama dan abah bergaduh. Esoknya, mama lari tinggalkan kami macam tu je. Mama cuma tinggalkan nota atas meja. Dalam nota tu, mama beritahu dia pulang ke rumah atuk dan minta abah ceraikan dia. Masa tu abah betul-betul kecewa dengan mama, sebab rasa marah dengan mama, abah pun jatuhkan talak 3 pada mama. Atuk dengan tokwan yang jadi saksi. Lepas habis iddah, mama terus kahwin dengan papa. Atuk yang kecewa dengan sikap mama mula pulaukan mama. Mama tak kisah terbuang dari keluarga sendiri asalkan dia dapat bersama papa. Abah pula menghilangkan diri selepas tu. Zaim ditinggalkan bersama atuk. Mama pula terlalu leka dengan hidup barunya sehingga mengabaikan Zaim. Mujurlah ada atuk dan tokwan yang sama-sama membesarkan Zaim. Kali terakhir Zaim jumpa abah, masa tokwan meninggal dunia, 20 tahun yang lepas. Selepas tu abah terus senyap tanpa khabar berita. Abah cuma kirim duit sahaja tiap-tiap bulan pada atuk sebagai sara hidup untuk Zaim. Kata atuk, abah terlalu kecewa dan malu dengan keruntuhan rumah tangganya sehingga abah nekad menghilangkan diri. Semasa Zaim dalam tingkatan 4, atuk pula pergi menyahut panggilan ilahi, masa tu barulah Zaim tinggal dengan mama."

“Zaim sebenarnya tak suka nak ceritakan mengenai keluarga Zaim ni kepada sesiapa sebab Zaim rasa macam menghebahkan aib keluarga Zaim kepada orang. Itu sebab Zaim tak pernah ceritakan pada sesiapa pasal diri Zaim.”

Seusai menghabiskan cerita mengenai kisah hidupnya kepada Ira, ada tangisan yang mengalir di pipi Zaim. Langsung Ira tidak menyangka yang ada kisah sedih di sebalik wajah ceria Zaim dan tingkah laku Zaim yang sentiasa riang. Berbanding dengan dirinya, dia cukup beruntung dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sempurna.

Zaim meraih tangan Ira ke dalam genggamannya.

“Sekarang Ira dah tahu pasal kisah hidup Zaim. Masihkah Ira mahu bersama Zaim?”

Ira merenung tepat ke anak mata Zaim dan mengenggam kembali tangan Zaim.

“Zaim, kisah sedih Zaim tu sedikit pun tak mengubah kasih Ira pada Zaim. Malah Ira kagum dengan ketabahan Zaim. Sepanjang Ira mengenali Zaim, tak pernah sekali pun Zaim pamerkan kesedihan di hadapan Ira. Zaim sentiasa riang dan ceria. Inilah pertama kali Ira lihat Zaim bersedih. Percayalah Zaim, kasih dan cinta Ira sentiasa pada Zaim. Cuma..” ayat Ira terhenti di situ. Ada kegusaran terlakar di wajahnya.

“Cuma Ira risaukan penerimaan Mama kan? Risau kalau-kalau Mama menghalang cinta kita?” soal Zaim kembali.

Ira hanya mengangguk.

“Apa kata kalau kita kahwin lari?” tokok Zaim lagi. Ada segaris senyuman nakal terukir di wajahnya.

“Isk Zaim ni. Kahwin tanpa restu keluarga ni tak baik tau. Kalau boleh Ira nak restu dari dua-dua belah pihak. Tak ada lagi tau dalam sejarah keluarga Ira kahwin lari. Tak naklah Ira. Malu Umi dengan Abah nanti” seraya itu satu cubitan singgah di lengan Zaim.

Zaim ketawa terbahak-bahak. Seronok sungguh dia mengusik Ira.

“Zaim gurau ajelah. Zaim ni tak lupa lagi tau, yang kita ni orang Islam, orang melayu” balas Zaim dengan tawa yang masih bersisa.
“Suka macam tau, main-main aje tau” Ira menarik muncung panjang.

Zaim yang melihat telatah Ira lantas mengeluarkan sesuatu dari laci dashboard keretanya. Zaim lantas menghulurkan kotak baldu berwarna biru itu kepada Ira.

“Apa ni?” soal Ira
“Bukalah”

Ira membuka kotak itu dengan penuh rasa ingin tahu. Apabila kotak kecil itu dibuka, kelihatan sebentuk anak kunci di dalamnya.

“Kunci apa ni Zaim?”
“Kunci jamban. Nanti senang Ira nak melabur, Ira seorang je yang boleh masuk jamban tu” balas Zaim selamba.
"Zaimmmm" muncung Ira semakin memanjang. Lantas Zaim ketawa bergegar melihatkan tingkah Ira.

"Cuba Ira perhatikan kunci tu betul-betul" arah Zaim.

Mendengar kata-kata Zaim itu, Ira lantas mendekatkan kotak kecil itu ke cahaya lampu supaya dia dapat melihat dengan lebih jelas lagi kunci yang berada di dalam kotak itu. Bila diamat-amatinya dia mendapati kunci itu diperbuat dari emas putih dan dihiasi dengan biku-biku emas dan permata putih. Sungguh cantik sekali corak kunci tersebut. Ira kemudiannya mengeluarkan kunci tersebut dari kotal baldu itu dan dia mendapati ada seutas rantai padanya. Kunci itu rupa-rupanya adalah sebentuk loket berantaikan emas putih. Ira memandang ke arah Zaim kehairanan.

Zaim mencapai kunci dan rantai itu dari tangan Ira dan terus mengalungkannya ke leher Ira.

“Sebenarnya Zaim tunggu masa yang sesuai untuk berikan hadiah ni pada Ira. Tapi selepas apa yang berlaku malam ni, Zaim rasa, inilah masanya yang sesuai untuk Zaim berikannya kepada Ira. Kunci ni, simbolik kasih Zaim pada Ira. Ia umpama kunci kepada pintu hati Zaim, dan sekarang, Zaim serahkan kunci ni pada Ira. Jadi hanya Ira seoranglah yang dapat masuk ke dalamnya, tiada yang lain lagi. Jagalah kunci ni baik-baik seumpama Ira menjaga hati Ira sendiri.” Jelas Zaim.

Ira merasa sungguh terharu dengan kata-kata Zaim itu.

“Percayalah, Ira akan menjaga kunci ini sepenuh hati Ira, seumpama Ira menjaga nyawa Ira sendiri. Dan tentang mama Zaim, Ira akan cuba sedaya upaya Ira untuk mengambil hati mama.”

Zaim tersenyum. “Thanks Ira.”

“Err.. Zaim, Ira rasa baik hantar Ira pulang sekarang. Lagipun dah lewat malam ni. Tak manis kita berdua lama-lama dalam kereta dekat sini. Nanti apa pula orang kata.”

“Ah.. oh ok. Sorry tuan puteri.”

Segaris senyuman terukir di bibir Ira. Walau sendu bertamu dihati, namun sinar bahagia tetap menanti.

~~~~~~~~

Ira melangkah masuk ke dalam rumahnya perlahan-lahan kerana tidak mahu Ekin menyedari kepulangnya. Jika tidak nanti pasal merah telinganya menahan serangan bebelan Ekin. Ketika Ira membuka pintu biliknya, dia disergah oleh Ekin.

“Hah, hang pi mana ni sampai lewat malam baru nak balik? Aku ingat kot hang tak mau balik dah, nak tidur kat rumah Zaim. Apa nak jadi hang ni Ira, hang tu anak dara, Zaim tu anak teruna, tak bek dok keluaq malam-malam baru nak balik. Hang tahu tak, di antara seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan muhrim tu, ditengah-tengahnya ada syaitan?” sergah Ekin.

“Cop. Minta maaf ustazah. Cek tau cek salah ustazah. Cek janji tak buat lagi” celah Ira sebelum sempat ekin meneruskan khutbahnya.

“Tula hang. Asal aku tegur sket, asal aku nasihat sket, hang panggil aku ustazah.”

“Ala Ekin, Ira bukan sengaja nak balik lambat, tapi kereta si Zaim pecah kat atas jalan tadi, on the way nak balik tadi. Tu yang lambat tu. Kesian Zaim, berpeluh-peluh nak ganti tayar kereta. Pastu kan Ekin, tayar spare dia pulak lempeng, kena le pulak pam. Pasal tu le yang Ira lambat ni. Sorila Ekin” rayu Ira.

“Oh.. macam tu ka. Dah tu, hang tak reti-reti nak telefon bagitahu Ekin? Tak tau kita ni risau ka apa ka?” bebel Ekin lagi.

“Ok, Ira minta maaf. Kalut sangat tadi sampai terlupa nak call Ekin. Ira janji tak buat lagi, ok?” ujar Ira sambil mengangkat tangannya seperti pengakap berikrar.

“Yela, yela. Dah la tu, pergilah mandi. Bau busuk ja. Solat, lepas tu tidur”

“Ok mama.. hehe. Selamat malam”. Ira terus berlalu masuk ke biliknya.

‘Fuh, selamat. Sesekali bohong sunat. Kalau tak mahu sampai ke esok Ekin dok bebel kat aku tak habis’ kata hati Ira.

Selesai mandi dan solat, Ira pun berbaring di atas katil dan mencapai telefon bimbitnya. Ada panggilan yang masuk tapi tidak berjawab. Pasti panggilan itu dibuat ketika Ira sedang mandi. Ira lantas membelek-belek nombor yang tertera di skrin telefonnya.

“Azam??”


Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia