Baru sahaja menghampiri tangga, Zaim sudah tercium keharuman nasi goreng yang dimasak oleh mamanya. Terus sahaja Zaim berasa lapar. Pantas kakinya melangkah menuruni anak tangga.

“Assalamualaikum mama, selamat pagi.” Tegur Zaim sebaik melangkah masuk ke ruang makan. “Wah, sedapnya bau nasi goreng mama. Lapar Zaim dibuatnya. Ni yang tak sabar nak makan ni.”

“Walaikumsalam. Alah, anak mama ni memang, kalau bab makan, cepat aje. Nak nak lagi kalau nasi goreng.”

Tersengih-sengih Zaim mendengar teguran mamanya. Dia menarik sebuah kerusi di meja makan dan terus duduk. Pinggan dicapai, nasi goreng disendukkan ke dalam pinggan.
“Papa tak turun lagi ke mama?” soal Zaim.

“Kejap lagi papa turunlah tu. Zaim makanlah dulu, nanti lambat pula ke pejabat,” ujar Pn. Normah, mama Zaim. Pn. Normah menarik sebuah kerusi dan duduk di sebelah Zaim. Air nescaffe ‘O’ panas kegemaran Zaim dituangkan ke dalam cawan dan diletakkan di hadapan Zaim.

“Wah, nasi goreng, nescaffe ‘O’, semua favourite Zaim. Mama ni ada apa-apa ke nak ambil hati Zaim ni?” usik Zaim.

Laju saja Zaim mengunyah nasi goreng. Nasi goreng mama memang sedap. Kalau tidak, masakan mama mampu buka sebuah restoran dengan papa. Pn. Normah memerhatikan saja Zaim makan dengan penuh berselera. Masuk ke suapan ke-lima, Pn. Normah mula membuka mulut untuk berkata-kata.

“Zaim, mama nak cakap sikit. Kawan Zaim tu, kawan perempuan Zaim yang Zaim ajak datang rumah hari tu,” lambat-lambat Pn. Normah menuturkan kata.
“Erm.. Ira?” Zaim memberhentikan suapan. Kepalanya diangkat sedikit. ‘Kenapa mama tiba-tiba cakap pasal Ira ni? Mama dah boleh terima Ira ke?’ Zaim senyum sendiri mengharapkan telahannya benar.

“Mama ni bukanlah nak mengata, tapi mama sendiri nampak malam semalam, dia keluar dengan jantan lain. Bukan main mesra lagi mama tengok, siap ber’abang-abang lagi,” lirih Pn. Normah bercerita sambil matanya menjeling ke arah anak terunanya itu.
Diam. Tiada balasan dari Zaim, hanya tangannya sahaja memutar-mutarkan sudu pada pinggan nasi gorengnya.

‘Abang?’ Setahu Zaim, Ira anak sulung. Masakan Ira mempunyai abang pula. Mungkin juga itu abang sepupunya. Tapi tidak pula Ira beritahu dia yang Ira keluar malam tadi sedangkan sudah menjadi rutin Ira untuk memaklumkan kepada Zaim kemana jua dia pergi semenjak mereka berkawan. ‘Mungkin abang sepupu dia tak.’

“Zaim,” panggil Pn. Normah setelah tiada reaksi dari anaknya itu.

“Mungkin tu abang sepupu dia kot,” balas Zaim bersahaja. Malas hendak melayan rasa cemburu yang sudah menapak di hati. Lagipun dia tidak mahu cepat melatah di hadapan mamanya. Bimbang nanti mamanya akan menjadi lebih tidak suka kepada Ira sekiranya dia tersalah cakap.

“Takkanlah dengan abang sepupu mesra macam tu sekali. Siap pegang pegang tangan, bertepuk tampar bukan main lagi. Berjalan rapat-rapat macam belangkas. Ish, tak berkenanlah mama tengok. Langsung tak jaga sopan santun.” Sengaja Pn. Normah menokok tambah cerita. Riak bersahaja Zaim membuatkan Pn. Normah berasa tidak puas hati.

“Mama salah tengok tak?” Zaim masih mempamerkan wajah selamba. Namun di dalam hati, bagaikan digaru-garu. Nasi goreng yang tadinya sedap mula terasa kesat di kerongkongnya. ‘Betul ke cakap mama tu? Entah-entah mama saja tak reka cerita. Mama kan tak suka aku kawan dengan Ira.’

Bukannya Zaim tidak mahu mempercayai kata-kata mamanya sendiri, tapi sudah masak benar dia dengan kerenah mamanya. Sekiranya mamanya tidak sukakan sesuatu perkara itu, pasti mamanya akan usaha supaya perkara itu tidak menjadi.

“Mata mama ni, bukannya rabun. Masih cerah lagi. Lagipun dia dengan kawan lelakinya tu singgah makan dekat restoran papa semalam. Mama cam sangat rupa budak perempuan tu. Terpulanglah kalau Zaim tak nak percaya cakap mama, kalau Zaim lebih nak percayakan buah hati Zaim tu. Terus terang mama cakap, mama tak berkenan dengan budak perempuan tu, kalau itu pilihan hati Zaim. Budak tu tak layak jadi menantu mama. Mama dah rancang nak jodohkan Zaim dengan Alisha. Zaim sendiri pun dah tahu pasal ni. Jadi mama rasa tak ada gunanya lagi Zaim berkawan dengan budak perempuan tu. Lebih baik Zaim putus je dengan budak tu.” Ujar mama Zaim tegas tanpa berselindung akan kehendak sebenarnya. Padanya hanya Alishalah yang layak menjadi menantunya dan dia tidak mahu rancangannya itu di ganggu dengan kehadiran Ira.

“Mama, dah banyak kali Zaim bagitahu, Zaim tak ada apa-apa perasaan dengan Alisha. Pada Zaim, Alisha tu tak lebih dari seorang adik aje. Lagipun bukan ke Auntie Maisara tu anak angkat atuk? Jadi, secara tak langsung, Alisha tu dah jadi sepupu Zaim sendiri. Dulu, masa atuk jodohkan mama dengan abah, mama pun tak setuju juga. Mama tak suka bila atuk paksa mama terima abah. Sekarang, kenapa mama nak paksa Zaim pula?” Ada nada sendu di situ bila Zaim menyebut mengenai abahnya.

“Wah, Zaim sekarang sejak berkawan dengan budak tu dah pandai melawan ye. Sampai Zaim lupa yang sekarang ni Zaim sedang cakap dengan mama.” Bentak Pn. Normah. Geram sungguh dia bila Zaim mengungkit kisah lama.

“Budak tu ada nama mama, nama dia Ira.”

Pn. Normah menarik muka masam. Marah hatinya tidka terkira bila Zaim terus-terusan membela Ira dan membangkang kata-katanya.

“Mama.” Panggil Zaim perlahan, namun tiada reaksi dari Pn. Normah. “Zaim mintak maaf kalau Zaim dah membuatkan mama tersinggung. Tak terlintas di hati ni untuk melawan kata-kata mama. Tapi Zaim pinta, cubalah mama faham hati dan perasaan Zaim ni. Hati ni cuma terpikat pada Ira mama.” Lembut Zaim berkata-kata memohon pengertian dari mamanya. Tangan mamanya diraih dan dikucup lembut sebagai tanda memohon maaf.

“Apa saja yang dua beranak ni bising-bisingkan. Sampai ke tingkat atas bunyinya,” tegur En. Hamid yang baru tiba di meja makan. Dari tangga lagi dia sudah terdengar suara isterinya berbalah-balah dengan anak tirinya itu.

“Mama, Zaim ke pejabat dulu. Ada banyak kerja hendak diselesaikan.” Zaim mengambil kesempatan itu untuk beredar dari situ. Tidak ingin memanjangkan perbalahan antara dia dengan ibunya. Selebihnya dia tidak ingin andai kata-katanya akan menambahkan luka di hati mamanya. Tangan ibunya dikucup lembut sebelum dia beredar.

Pn. Normah sekadar menghantar Zaim pergi dengan lirikan matanya sahaja. Berbuku rasa tidak puas hatinya di dalam dada.

“Tegur sikit tak boleh. Sayang sangat buah hatinya tu, sampai dah pandai melawan mama dia. Entah apa yang ada pada budak perempuan tu entah sampai Zaim tergila-gilakan dia. Jangan-jangan pakai bomoh tak.” Rungut Pn. Normah sebaik sahaja Zaim hilang dari pandangan.

“Isk awak ni. Zaim tu kan ke dah besar. Biarlah dia pilih sendiri jodoh dia. Lagipun saya tengok Ira tu ok aje, cantik pun cantik, dengan orang tua pun dia hormat. Kenapa yang awak tak berkenan sangat dengan si Ira tu pun saya tak tahulah. Kalau Ira tu tak boleh jadi menantu awak, apa kata dia jadi madu awak aje.” Selamba En. Hamid berkata-kata. Senyuman terukir di bibirnya bila teringatkan Ira.

Pn. Normah menjeling tajam pada suaminya. En. Hamid pura-pura tidak nampak. Makin bertambah marah Pn. Normah dibuatnya dengan kata-kata En. Hamid itu. Dalam hatinya nekad, Ira mesti dipisahkan dari Zaim.

~~~~~~~~~~~

Zaim melepaskan keluhan berat sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi di pejabatnya. Berserabut kepalanya mengenangkan sikap mamanya yang betul-betul memusuhi Ira. Tangannya memicit-micit kepalanya lagak seperti orang yang sedang pening.

Telefon di atas meja dicapai. Pantas sahaja jari jemarinya mendail nombor telefon bimbit Ira. Lama Zaim menunggu namun panggilannya tidak bersambut. Dibiarkan mati begitu sahaja. Zaim mendail sekali lagi. Seperti tadi, panggilannya masih tidak bersambut. Tidak berputus asa, didailnya nombor Ira sekali lagi. Dia inginkan jawapan dan kepastian dari mulut Ira sendiri. Tidak ingin rasa cemburu dan wasangka ini terus marak dalam hatinya.

Zaim gelisah menunggu, mengharapkan panggilannya bersambut. Di dalam hatinya umpama badai sedang bergelora.

0 comments:

Post a Comment

Hakcipta Terpelihara

Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia

Traffic Light

Powered By Blogger