Sebaik sahaja melangkah keluar dari kereta, Ira terpempan di hadapan rumah semi-d dua tingkat milik keluarga Zaim. Kakinya terasa menggeletar. Gemuruh tetiba menyerang. Ira mula rasa gugup kerana sebentar lagi dia akan bertemu dengan ibu Zaim secara tiba tanpa dia dapat membuat sebarang persediaan terlebih dahulu. Terasa serba tidak kena sahaja dibuatnya.

“Ish, dah sampai ke. Alamak, rupa aku ok ke tak ni, dah le pakai jeans aje, Zaim ni pun tiba-tiba je terus heret aku ke sini.” Gundah hati Ira.

Zaim telah pun melangkah menuju ke arah pintu masuk ketika dia tersedar yang Ira tidak disampingnya. Dia lantas menoleh dan terlihat Ira masih lagi kaku di sisi keretanya.

“Ira, kenapa tercegat kat situ lagi? Marilah sini.” panggil Zaim.
“Er.. ok. Kejap.” Balas Ira gugup.

Ira menarik nafas sedalam-dalamnya seakan-akan cuba mendapatkan kekuatan dari angin malam yang berhembus. Perlahan-lahan Ira melangkah ke arah Zaim. Hatinya resah tidak terkira memikirkan bagaimanakah penerimaan kedua orang tua Zaim terhadap dirinya. Zaim yang terlihat keruh di wajah Ira meraih tangan Ira kedalam genggamannya seolah cuba untuk menyalurkan kekuatan kepada Ira.

“Tadi beria sangat nak jumpa mama, tapi sekarang dah gelabah pula. Ish tak paham le aku orang perempuan ni” bisik hati Zaim.

“Assalamualaikum. Mama, Zaim dah sampai” ujar Zaim sambil membuka pintu rumahnya.
“Waalaikumsalam, ajaklah kawan tu masuk dulu. Sebentar lagi mama turun” terdengar sahutan dari tingkat dua rumah.

Zaim pun mempelawa Ira masuk. Ira di bawa ke ruang tamu sementara menunggu mamanya turun. Ira terasa semakin gerun apabila telah melangkah masuk ke dalam rumah tersebut. Dia kagum dengan hiasan dalaman rumah itu. Walaupun simple tetapi tampak menarik dan elegan. Buat seketika dia merasakan ketenangan berada di dalam rumah itu.

“Ha, mana kawan Zaim tu?” sapa Mama Zaim.
“Mama, kenalkan, ini Ira, teman wanita Zaim.” Beritahu Zaim sambil tersenyum bangga
“Er.. teman wanita? Mama ingatkan Zaim nak bawa balik rakan lelaki tadi” ada nada dingin disitu apabila Zaim memperkenalkan Ira sebagai teman wanitanya.
“Apa khabar makcik” tegur Ira ramah”
“Baik je” acuh tidak acuh sahaja mama Zaim membalasnya.

Ira menghulurkan tangannya ke arah Mama Zaim, tetapi disambut bersahaja oleh Mama Zaim. Ketika Ira membongkokkan badan untuk mencium tangannya, lekas-lekas sahaja Puan Normah, mama Zaim, menarik kembali tangannya. Baik Ira mahupun Zaim telah terperasankan kedinginan Puan Normah terhadap Ira. Terlintas suatu perasaan tidak enak di hati Ira. Namun dicekalkan juga hatinya untuk terus berhadapan dengan mama Zaim. Suasana sunyi buat seketika.

“Er.. papa mana mama?” celah Zaim membunuh kesunyian.
“Papa ke kedai sebentar. Sekejap lagi baliklah tu” balas Puan Normah. Matanya tidak lepas-lepas merenung tajam ke arah Ira membuatkan Ira berasa tidak selesa.

Sebentar kemudian kedengaran suara memberi salam.

“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Ha, tu pun papa dah balik” ujar Zaim
“Kita ada tetamu ke?” ulah papa Zaim, En Hamid ketika terpandangkan Ira di ruang tamu.
“Kawan si Zaim” terang Puan Normah.
“Papa, ini Ira. Teman wanita Zaim” sengaja Zaim menekankan perkataan teman wanita itu kerana ingin menegaskan kepada Puan Normah bahawa inilah pilihan hatinya.

“Apa khabar pakcik” tegur Ira sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Dia mengharapkan tindakbalas positif dari papa Zaim tidak seperti ketika dia bersalaman dengan mama Zaim Dan nasibnya baik kali ini apabila papa Zaim menyambut huluran tangan Ira dengan baik.

“Dah lama Ira kenal Zaim?” tegur En. Hamid ramah. Dalam hatinya ‘manis juga budak ni’.
“Lama juga, dah dekat 4 tahun”
“Hai, dah 4 tahun kenal baru sekarang Zaim nak temukan dengan mama? Kenapa tak tunggu lagi 4 tahun aje?” sindir Puan Normah.

Terkedu Ira mendengar sindiran itu. Manakala muka Zaim pula sudah merah padam mendengar kenyataan mamanya itu.

“Ish awak ni. Biasalah budak-budak bercinta” tegur En. Hamid.
“Ira asal dari mana? Masih belajar atau dah kerja?” soal En. Hamid lagi.
“Ira asal dari Pulau Pinang pakcik. Baru je habis belajar, tapi sekarang ni kerja di sini.” Keramahan En. Hamid sedikit sebanyak membuatkan Ira berasa selesa. Zaim pula lebih banyak mendiamkan diri.

“Marilah kita makan dulu. Makanan dah dihidang tu.” Pelawa Puan Normah. ‘Lagi cepat budak tu balik lagi bagus. Zaim ni pun satu hal, kenapalah dibawanya budak tu ke mari’ ujar Puan Normah di dalam hati.

“Eloklah tu, papa pun dah lapar ni. Jom Ira, Zaim.”

Di meja makan, Puan Normah masih seperti tadi, melayan Ira bagaikan hendak tak hendak sahaja. Hanya En. Hamid sahaja yang ramah melayan Ira dan Zaim. Sesekali kedengaran gelak ketawa apabila En. Hamid membuat jenaka. Melihatkan suaminya begitu mesra melayan Ira membuatkan Puan Normah semakin dingin melayan Ira. Keruh jelas kelihatan di wajahnya.

Tiba-tiba Ira terasa seperti ada sesuatu merayap-rayap di kakinya. Hendak dikatakan kucing, tidak pula terasa seperti kucing. ‘Jangan-jangan cicak tak? Eii.’ Bisik hati Ira. Dia memang tidak sukakan cicak. Dia akan merasa geli walaupun hanya dengan memandang cicak. Ira lantas mengintai sedikit ke bawah meja. Terperanjat Ira dibuatnya apabila mendapati sebatang kaki sedang mengusap-usap kakinya. Apa yang pasti kaki itu bukanlah milik Zaim, apatah lagi Puan Normah. Apabila Ira mengangkat mukanya, kelihatan En Hamid sedang mengukir senyuman nakal ke arahnya. Puan Normah dan Zaim pula sedang tekun menjamu selera pada ketika ini. Tersentak Ira dibuatnya sehinggakan sudu yang dipegangnya terlepas dan jatuh ke lantai. Berdenting bunyinya apabila sudu itu mencecah lantai marmar kediaman keluarga Zaim.

“Hai, pegang sudu pun tak kuat? Ni baru sekali jumpa, lain kali entah apalah yang jatuh. Mujur sudu tu besi, kalau tak habislah pecah barang dalam rumah ni” sungguh pedas sekali sindiran Puan Normah.

Berubah air muka Ira. Patah seleranya untuk terus menjamu selera dengan apa yang berlaku. Zaim yang disebelahnya turut terasa hati dengan kata-kata Puan Normah itu. Tapi apakan dayanya, takkan pula dia hendak berbalah dengan mamanya sendiri. Sebelum sempat Ira menunduk, Zaim terlebih dahulu menundukkan badannya dan memungut sudu yang jatuh itu. Kelam kabut En. Hamid menarik kakinya jauh dari kaki Ira. Tetapi perbuatannya itu dapat juga dilihat oleh Zaim. Lalu Zaim sudah dapat mengagak apakah yang membuatkan Ira tersentak sehingga sudu itu terjatuh. Geram hati Zaim dibuatnya. Sudahlah layanan mama terhadap Ira begitu dingin sekali, papa pula cuba menggatal dengan Ira.

Zaim menatap wajah Ira dengan rasa kesal menggunung di hati. Inilah yang dikhuatirinya apabila Ira menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan orang tuanya. Ira membalas tatapan Zaim dengan pandangan sayu mengharapkan Zaim mengerti apa yang terjadi.

Usai makan malam, tanpa perlu Ira bersuara, Zaim terus meminta diri untuk menghantar Ira pulang. Lega rasa hati Ira. Letih rasanya berhadapan dengan situasi sebegitu.

Hakcipta Terpelihara

Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia

Traffic Light

Powered By Blogger