Alangkah tidak percayanya Ira di ketika ini apabila dia sedang duduk berdua-duaan dengan pelakon Fahrin Ahmad, hero melayu pujaan hatinya itu. Tidak sangka pula dia tuah menyebelahi dia apabila dia di istiharkan sebagai pemenang peraduan ‘Kenali Aktor Fahrin Ahmad’ dan sekaligus memenangi hadiah utama iaitu ‘Makan Malam bersama Fahrin Ahmad’. Sungguh dia tidak percaya.

Siapa yang tidak teruja bila dapat menatap pelakon pujaan hati secara berdepan di tambah dengan makan malam bersama di sebuah restoran ekslusif. Sesiapa pun yang berada di tempat Ira pasti merasakan benda yang sama. Cuma satu yang menjadi kemuyskilan di hati Ira, bilakah masanya dia menyertai peraduan tersebut?
‘Jangan-jangan aku mimpi tak? Ah, kalau mimpi pun mimpilah. Peduli apa aku, janji dapat dinner dengan Fahrin… hik hik hik,’ bisik hati Ira sendiri.

Ira sedang memotong ‘steak’ yang berada di pinggannya ketika dia merasakan tangannya disentuh oleh Fahrin Ahmad. Oleh kerana rasa terkejut, Ira pun mengangkat mukanya untuk memandang Fahrin, namun Ira berasa terkejut sekali lagi apabila jejaka yang berada di depan dan sedang memegang tangannya itu ialah Azam, bukannya Fahrin. Kemana pula perginya Fahrin Ahmad? Kenapa pula Azam yang berada disini?

Ira bingung sendiri. Dia pantas menarik tangannya dari gengaman Azam tapi tidak berjaya. Tangan kanannya digenggam oleh Azam dengan lebih erat lagi. Tiba-tiba muncul pula En. Hamid lantas meraih tangan kirinya ke genggaman En. Hamid. Azam yang menyedari kedatangan En. Hamid terus bertindak aggresif dengan menarik Ira ke arahnya. Terhoyong haying Ira dibuatnya. En. Hamid juga tidak mahu mengalah, Ira ditarik kembali agar rapat ke sisinya. Adegan tarik menarik Ira di antara Azam dan En. Hamid terus berlarutan.

Ira di tengah-tengah menjadi keliru. Bagai hendak tercabut tangannya dirasakan di tarik-tarik begitu. Menjerit-jerit Ira minta dilepaskan. Orang ramai yang memerhatikan kejadian itu sudah tidak dihiraukan lagi. Hilang sudah rasa malunya. Penambah kepada kekeliruan Ira ialah apabila Zaim yang entah dari mana, tiba-tiba sahaja muncul dan bertindak selaku pengadil kepada acara tarik menarik itu. Jeritan Ira langsung tidak dihiraukan mereka.

Di tengah-tengah keriuhan adegan tarik menarik itu, kapal persiaran mewah yang mereka naiki telah terlanggar bongkah ais gergasi menyebabkan bahagian limbungannya pecah. Serentak dengan itu, berkumandanglah lagu ‘I’ll Go On’ dendangan Celine Dion dari runut bunyi titanic mengiringi perlanggaran itu.

‘Masa bila lak aku naik kapal ni? Siap ada soundtrack lagi… ayooo.. Ira… apa dah jadi ni?? Pening makcik pening’ Namun kata-kata itu tidak terluah dari mulut Ira, hanya bergema di dalam hatinya sahaja.

Disebabkan impak perlanggaran yang kuat, Ira telah tercampak dari atas kapal dan…..

“Aduhhhhh….” Ira mengodok-gosok punggungnya yang terhentak. Matanya dibuka luas. Hilang sudah bayangan wajah Fahrin Ahmad, Azam, En. Hamid, Zaim dan kapal persiaran mewahnya. Sebaliknya diganti dengan pemandangan bilik tidurnya yang berselerak. Ira kini terduduk di atas lantai setelah terjatuh dari katilnya. Manakala lagu runut bunyi yang didengarinya tadi datangnya dari telefon bimbitnya yang berbunyi menandakan ada panggilan masuk.

‘Ya Allah, aku mimpi aje rupanya. Nasib baik bukan real, ngeri aku,’ bisik hati Ira lagi.

Telefon bimbitnya di tepi katil dicapai. Sekali imbas anak matanya menangkap nama Zaim di skrin telefon bimbitnya. Butang hijau ditekan.

“Assalamualaikum.” Dengan suara lemak merdu baru bangun dari tidur, Ira menjawab panggilan.

“Waalaikumsalam. Ira baru bangun tidur ke?” jawab Zaim. Lama berkawan dengan Ira membuatkan dia dapat mengecam kelainan dalam nada suara Ira.

“Tak lah, Ira baru lepas cat KL Tower.”

“Ha? Ira nak buat lawak ye?”

“Taklah, Zaim tu yang buat lawak. Yang Zaim call Ira pagi-pagi buta ni nak buat apa? Tentulah Ira tengah tidur, takkan tengah karaoke lak.” Lancar sahaja jawapan tu keluar dari mulut Ira.

“Pagi-pagi buta?” Ada nada terkejut dalam suara Zaim, dia kemudiannya menyambung, “Cik Nur Shahira, pagi-pagi buta apanya? Cuba awak tengok jam, sekarang dah pukul 8.30 pagi tau. Bukan 8.30 malam. So, sapa yang buat lawak sekarang ni?”

Giliran Ira pula yang terkejut. ‘Pukul 8.30 pagi? Tapi jam loceng ni baru pukul 3 pagi?’ Dicapai dan dibeleknya jam loceng itu. ‘Alamak, jam aku dah mati’ Dibeleknya pula jam di telefon bimbitnya, ‘Iyelah dah pukul 8.30 pagi'.

“Alamakkkk….. Ira dah lambat.” Jerit Ira.

Bergegar gegendang telinga Zaim mendengar jeritan Ira. Mujur juga hanya di dalam telefon, kalau secara berdepan, nescaya telinga Zaim sudah tertanggal keluar.

“Oklah Zaim, Ira nak siap dulu, nak pergi ofis. Karang kita sambung lagi ek”

Ira terus mematikan talian tanpa menunggu balasan daripada Zaim. Hanya satu dalam fikirannya, dia sudah lambat ke pejabat, walau pun masa pejabatnya bermula pukul 9.00 pagi, namun dari rumah sewanya ke pejabat mengambil masa setengah jam. Itu belum campur waktu untuk dia mandi dan berpakaian lagi. Sarapan jangan ceritalah, memang tidak sempat. Mujur juga dia sedang mengibarkan bendera merah pada hari itu.

Bergegas Ira mandi dan bersiap ala kadar sahaja. Mulutnya membebel-bebel di atas kelalaiannya menukar bateri jam dan tidak menetapkan waktu dai telefon bimbitnya. Sebalnya bertambah apabila mengenangkan yang Ekin langsung tidak membantu mengejutkannya. Selalunya, Ekin akan mengejutkan dia kalau dia masih belum bangun setelah 7.00 pagi. Kalau tidak, tidaklah dia kalu-kalut sebegini. Pasti Ekin masih terasa hati dengannya gara-gara soalan Ekin semalam yang dibiarkan tidak berjawab.

Apabila menutup pintu biliknya, jelas kelihatan sekeping nota yang dilekatkan disitu;

Ira, bangun!!!! Dah pukul 7.30 pagi dah ni.
Ekin.

‘Ceh, bertuah punya kawan. Ada ke macam gini dia kejutkan aku bangun.’

~~~~~~~~~~~~~

Ira tiba di pejabat tepat pukul 9.30 pagi. Gelabah tidak terkira Ira dibuatnya. Sejak bekerja di situ, inilah kali pertama Ira datang lambat. Kecut perutnya membayangkan rupa Haji Suhaimi memarahinya di atas kelambatannya itu. Terhendap-hendap dia sewaktu melintasi bilik Haji Suhaimi. Lagaknya tidak ubah seperti musang yang hendak mencuri telur ayam sehinggakan Penyambut Tetamu di kaunter receptionist juga kehairanan melihat tingkah laku Ira.

Memang sengaja Haji Suhaimi meletakkan bilinya di bahagian hadapan. Katanya, mudah untuk dia memantau pekerja-pekerjanya, siapa yang datang lambat dan siapa pula yang balik awal sebelum habis waktu bekerja. Jadi setiap pekerja perlu melintasi biliknya terlebih dahulu sebelum ke meja masing-masing.

Lega hati Ira apabila dilihatnya Haji Suhaimi tiada di dalam biliknya. Sangkanya Haji Suhaimi belum sampai lagi. Rutin masuk kerja Haji Suhaimi sudah dihafalnya. Bosnya itu selalu datang awal ke pejabat, tapi sekiranya dia belum masuk setelah waktu kerja bermula, dia pasti akan masuk pada pukul 10 pagi.

Kelegaan Ira itu tidak bertahan lama apabila dia melihat tubuh Haji Suhaimi sudah sedia menunggu ketibaannya di mejanya. Melihat kedatangan Ira, Haji Suhaimi spontan menaikkan tangannya dan menunjukkan jam tangannya kepada Ira. Keningnya di angkat-angkat lagak Ziana Zain sebagai isyarat kepada Ira menunjukkan yang Ira dah lambat. Bagi syarikat kecil seperti syarikatnya ini, memang agak mudah bagi Haji Suhaimi untuk memantau pekerjanya. Jumlah pekerjanya sendiri boleh dibilang dengan jari membuatkan dia mengenali setiap pekerjanya.

‘Alamak, matila aku. Takpe Ira, cool Ira cool. Bukannya Haji Suhaimi nak telan ko. Dia kan ok… huhu.’ Keluh Hati Ira.

“Cik Nur Shahira, awalnya awak sampai hari ni? Atau saya yang terlambat datang?” sindir Haji Suhaimi. “Apa alasan awak masuk kerja terlebih awal hari ni?”

“Ala, sorila bos. Bukan selalu saya datang terrrrrrrrlebih awal macam ni.” Ira menayangkan muka seposen mengharapkan simpati dari Haji Suhaimi.

“Kalau selalu awak datang terrrrrrlebih awal macam ni, saya dah bagi surat cinta dah kat awak, 3 patah perkataan je saya tulis dalam tu, YOU ARE FIRED!!!!, bak kata Donald Trumph.”

“Ala bos, janganlah macam tu bos. Saya terlajak tidur tadi. Jam loceng saya lak mati. Tu sbb lambat bos.” Perlahan saja suara Ira menuturkan kata-katanya. Merah padam mukanya menahan malu. Apalah yang akan difikir oleh Haji Suhaimi dan kawan-kawan sepejabatnya bila dapat tahu dia lambat sebab terlewat bangun.

“Hei anak dara, bangun lambat, tu tak lain tak bukan mesti malam tadi tidur lambat layan citer Titanic dekat TV3. Siap tisu sekotak lagi buat lap air mata. Takpe, hari ni gaji masuk, awak pergi beli jam loceng baru. Yang lama tu campak aje masuk dlm tong sampah. Amaran pertama untuk awak. Kalau datang lambat lagi, memang awak dapat surat cinta dari saya.” Walau ada gurauan namun nada suara Haji Suhaimi tetap tegas, tanda amaran pada pekerjanya yang Haji Suhaimi boleh dibawa bergurau tapi bila bekerja mesti serius. “Sebagai hukuman untuk awak datang terrrrrrlebih awal hari ni, bancuhkan kopi ‘O’ kaw untuk saya.”

“Baik bos.” Pantas jawab Ira. Tangannya di angkat gaya askar pencen menabik kepada Haji Suhaimi. Senyuman terukir dibibirnya. Lega kerana Haji Suhaimi sudi berkompromi dengan kesalahan pertamanya itu.



Selepas menghantar air ke bilik Haji Suhaimi, Ira lihat ada pesanan ringkas yang masuk di telefon bimbitnya. Pesanan dari Zaim mengajaknya makan tengahari bersama.

~~~~~~~~

Zaim membawa Ira makan tengah hari di sebuah restoran makanan Thai yang berhampiran dengan pejabat Ira. Walaupun di dalam hatinya umpama gendang sedang dipalu Zaim tetap bersabar menanti waktu yang sesuai untuk dia bertanyakan kisah semalam.

Sambil menjamu selera, Zaim akhirnya membuka mulut bertanya kepada Ira perihal cerita yang dikisahkan kepadanya oleh mamanya.

“Ira, Zaim nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah, sejak bila pula Zaim mintak izin dulu sebelum bertanya ni? Selalu main redah je?” Pelik Ira dengan gelagat Zaim. Sejak dari tadi dilihatnya Zaim seperti cacing yang kepanasan.

“Mama kata, semalam dia jumpa Ira dekat restoran papa. Betul ke?”

“Betullah tu, kenapa?”

“Ira pergi sana dengan siapa?” Ada nada cemburu disitu.

“Dengan kawan.” Di saat ini Ira sudah dapat mengagak maksud pertanyaan Zaim, namun sengaja dia bermain tarik tali dengan Zaim. Ingin melihat sejauh mana rasa cemburu Zaim. Bertahun berkawan dengan Zaim dia sudah dapat meneka perubahan nada suara Zaim.

“Lelaki ke perempuan?” soal Zaim lagi tidak berpuas hati dengan jawapan Ira yang pendek itu.

“Lelaki, pakwe nombor 10 Ira. Kenapa? Cemburu ke? Janganlah cemburu, madu Zaim juga tu.” Selamba sahaja jawapan Ira.

Zaim yang mendengar jawapan Ira itu terus tersedak. Nasi yang ditelan terasa seumpama seketul batu melekat di kerongkongnya. Sampai hati Ira menduakan dia, eh, mensepuluhkan dia.

Meletus tawa dari mulut Ira melihat tingkah Zaim. Air suam di dalam gelasnya disuakan kepada Zaim apabila dilihat muka Zaim telah merah akibat tersedak. Zaim yang masih terasa hati dengan jawapan bersahaja Ira menepis perlahan huluran gelas air itu. Tangannya memanjang mencapai gelas airnya sendiri. Air tembikai di dalam gelas di teguk rakus bagi melegakan tekak yang perit.

“Merajuk la tu. Ei… buruk tau orang tua merajuk. Ira main-main ajelah. Semalam Ira keluar makan dengan abang Azam. Kawan sekampung Ira dulu. Abang Azam tu dah macam abang Ira sendiri tau. Keluarga kitorang pun dah rapat macam sedara. Kan dulu Ira dah ceritakan pasal abang Azam dekat Zaim.” Tersenyum-senyum Ira menuturkan kata.

“Ira ni memang tau. Suka main-mainkan Zaim. Habis tu, kenapa tak beritahu Zaim yang Ira keluar dengan dia?” Wajah Zaim yang tadinya kelat sudah bertukar ceria.

“Kredit Ira dah habis. Lupa nak top-up. Zaim cemburu ye?”

“Cemburu? Huh, buang masa aje.”

“Eleh, konon. Ok, kalau tak cemburu, lain kali bolehlah Ira buat lagi.”

“Ira!!!!!”

Meletus lagi tawa dari mulut Ira. Merah padam muka Zaim, tapi akhirnya Zaim juga turut tertawa, tahu Ira mengusik dia. Di saat ini Ira terasa sungguh bahagia. Cemburu itu bukankah tandanya sayang.

0 comments:

Post a Comment

Hakcipta Terpelihara

Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia

Traffic Light

Powered By Blogger