Dua hari telah berlalu selepas pertemuan makan malam di antara Ira dan Azam. Sepanjang tempoh itu acapkali juga Azam menghubungi Ira sehinggakan rimas Ira dibuatnya. Siapalah yang tidak rimas kalau panggilan yang dibuat sekadar hendak bertanya sudah makan atau belum dan panggilan diterima setiap sejam. Azam juga tidak henti-henti mengajak Ira untuk keluar makan bersamanya. Sesak nafas Ira dibuatnya melayan kerenah Azam. Lama kelamaan Ira mula mengabaikan panggilan-panggilan dri Azam.

Hari itu di pejabat, sejurus sebelum waktu rehat, Ira menerima panggilan dari Puan Aishah, iaitu ibu kepada Azam.

“Ibu!!” Ira terjerit kecil keriangan. “Ya Allah, dah lama Ira tak dengar suara Ibu. Rindunya. Hampir Ira tak cam suara Ibu tadi. Ibu sihat?”

Sejak dari dulu Ira memang sudah terbiasa memanggil Puan Aishah dengan panggilan Ibu. Mungkin kerana keakraban di antara keluarga mereka membuatkan Ira mesra dan manja dengan Puan Aishah.

“Alhamdulillah, Ibu sihat. Ira macam mana sayang? Yelah, sejak Ibu pindah, dah lama kita tak jumpa kan. Dengar cerita Ira dah kerja. So, is everything ok?”

“Ira sihat Ibu. Rasa macam dah terlebih-lebih sihat dah pun hah. Kalau Ibu tengok Ira sekarang mesti Ibu tak cam. Haah, Ira kerja dekat Johor jugak. Cari pengalaman. Kerja pun ok, ibu.” Ira tersengih-sengih sambil bercakap seolah-olah Puan Aishah dapat melihatnya.

“Baguslah macam tu. Seronok ibu dengar. Ira, Ibu telefon Ira ni sebenarnya ada hajat sikit.” Ada nada resah pada suara Puan Aishah.

“Hajat? Macam besar je bunyinya tu. Kenapa ibu? Ibu ada masalah ke?” Tanya Ira prihatin.

“Erm.. ini bukan pasal Ibu. Tapi pasal abang Azam kamu. Dia ada pergi jumpa Ira kan?”

Ira mula berasa tidak senang hati. “Memang dia ada jumpa Ira beberapa hari lepas. Kenapa dengan abang Azam, ibu?”

“Tak ganggu Ira ke kalau Ibu berbual dengan Ira sekarang?” Tanya Puan Aishah gusar andai dia menganggu Ira.

“Takde masalah ibu. Lagipun sekarang tengah tak banyak kerja. Lima minit lagi lak, waktu rehat Ira.”

“Kalau begitu, Ibu harap Ira takkan terkejut ye dengan apa yang Ibu nak beritahu Ira ni.” Sebuah keluhan terdengar dari mulut Puan Aishah.

Daripada berita yang dikhabarkan oleh Puan Aishah, Ira mendapat tahu bahawa Azam telah terlibat dengan sebuah kemalangan semasa berada di Australia. Kemalangan tersebut telah meragut nyawa Susan, isteri Azam dan Daniel, anak tunggal mereka. Hanya Azam yang terselamat dalam kemalangan tersebut. Akibat kecederaan yang agak serius di bahagian kepala, Azam telah koma selama hampir sebulan.

Apabila sedar sahaja dari koma Azam mula meracau-racau memanggil anak dan isterinya. Walaupun telah dikhabarkan yang anak dan isterinya telah meninggal dunia, Azam tetap memekik-mekik memanggil anak dan isterinya. Ada masanya Azam akan bercakap-cakap sendirian seolah-olah sedang berbual dengan isterinya dan bermain dengan anaknya, ada masanya pula Azam akan memaki-maki memarahi dirinya sendiri kerana menyebabkan kemalangan itu berlaku. Menurut kata doktor, Azam telah mengalami tekanan jiwa akibat tidak menerima hakikat yang sebenar.

Ibu dan ayah Azam kemudiannya membawa dia pulang ke Malaysia. Di sini mereka cuba memulihkan kembali Azam dengan mendapatkan bantuan pakar di Malaysia. Malah mereka juga membawa Azam berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional untuk memulihkan Azam. Bermacam-macam cara mereka usahakan namun keadaan Azam masih juga begitu. Hampir-hampir sahaja mereka berputus asa. Apatah lagi dengan keadaan Azam sekarang, sekiranya permintaannya tidak dipenuhi dia pasti akan mengamuk dan dia sering melarikan diri apabila dibawa berjumpa doktor untuk menerima rawatan.

Hinggalah suatu hari, ketika berada di kampung, Azam telah terjumpa gambar Ira yang diambilnya semasa mereka masih bersekolah. Gambar itu kemudiannya bagaikan menjadi azimat buat Azam, kemana sahaja dia pergi, pasti gambar Ira ada bersamanya. Sejak itu juga Azam semakin kurang meracau-racau dan mengamuk, malah Azam menjadi lebih mudah dipujuk untuk berjumpa dengan doktor.

Alhamdulillah, setelah setahun berkeadaan sebegitu, Azam akhirnya pulih. Namun begitu, doktor menasihatkan agar Azam tidak dibebankan dengan sebarang tekanan, atau dia penyakitnya akan kembali semula.

Setelah pulih, Azam telah berusaha mencari kerja semula, namun bukan satu perkara yang mudah baginya kerana tiada majikan yang ingin mengambil pekerja yang mempunyai rekod sepertinya. Tapi nasib menyebelahinya apabila dia berjaya mendapat pekerjaan di selatan tanah air, dan yang paling menggembirakan Azam apabila dia kini akan berada dekat di samping Ira.

Oleh itu, Pn. Aishah ingin meminta jasa baik Ira untuk memerhatikan Azam. Pn. Aishah bimbang sekiranya penyakit jiwa Azam itu akan datang semula. Dia berharap sangat Ira dapat membantunya. Tidak ingin agar sekali lagi satu-satunya anaknya itu ditimpa malang sekali lagi.

Satu keluhan berat terkeluar dari mulut Ira setelah panggilan ditamatkan. Permintaan Pn. Aishah sebentar tadi bukanlah satu permintaan yang mudah. Untuk menjaga seseorang seperti Azam dan hendak selalu memastikan yang dia gembira bukanlah perkara yang senang. Terasa seperti suatu bebanan telah diletakkan di atas bahunya. Ingin saja Ira menolak permintaan Pn. Aishah itu jika tidak mengenangkan jasa baik mereka sekeluarga sepanjang berjiran dengan keluarga Ira. Tambahan pula, Azam pernah menyelamatkan Ira dari hampir mati lemas dahulu.

“Ira, hang boleh buatlah. Lagipun bukan Ibu minta hang jaga dia 24 jam. Tolong tengok-tengokkan je. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat panggil ibu. Nilah masanya nak balas budi dia. Patutlah Abang Azam asyik mengelak aje bila aku tanya pasal family dia, ini rupanya yang terjadi.” Monologue Ira sendirian.

"Aja aja fighting..." Ira menggayakan tangannya ala-ala pelakon korea.

Hakcipta Terpelihara

Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia

Traffic Light

Powered By Blogger