Semalaman Ira tidak lena tidur memikirkan mengenai panggilan yang diterimanya semalam. Sebenarnya bukanlah panggilan yang tidak berjawab itu yang dihiraukannnya sangat. Tetapi si pemanggil itulah yang mengganggu lenanya.
‘Azam? Sudah pulang ke Malaysia ke dia? Dah lama tak telefon, pasai pe lak tiba-tiba je dia telefon aku?’ gusar hati Ira.
Azam merupakan teman sepermainan Ira dari kecil. Membesar bersama-sama dan hidup berjiran di dalam satu kampong, apatah lagi ibu mereka berdua berkawan rapat membuatkan hubungan persahabatan di antara mereka berdua akrab sekali. Azam yang dua tahun lebih tua dari Ira selalu berlagak sebagai pelindung kepada Ira. Pantang ada yang membuli Ira, pasti akan menerima penangan penumbuk Azam. Ira pula memang manja dengan Azam sementelah Ira merupakan anak sulung, jadi Azamlah tempat Ira menumpang kasih seorang abang. Keakraban ini tidak hanya terjalin di rumah tapi juga terbawa-bawa ke sekolah.
Namun, setelah Ira menginjak remaja, layanan Azam terhadap Ira sedikit berubah. Azam kelihatan lebih prihatin dan begitu mengawasi pergerakan Ira. Azam juga cukup cemburu sekiranya-kiranya ada rakan-rakan lelaki di sekolah yang cuba merapati Ira. Kelakuan Azam yang agak mengongkong Ira menimbulkan tanda Tanya di hati Ira. Tetapi didiamkan sahaja kerana menganggapkan yang Azam berbuat begitu hanya kerana kasih sayang seorang abang terhadap adiknya dan kerana tidak ingin sekiranya berlaku sesuatu yang buruk pada Ira.
Jawapan kepada perubahan sikap Azam itu hanya diketahui Ira semasa dia berada di tingkatan 3. Masa itu Ira baru sahaja habis peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Azam pula di tingkatan 5 dan bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Masih jelas di ingatan Ira peristiwa di malam itu, di mana Azam telah mecurahkan isi hatinya kepada Ira.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Azam meminta Ira menemuinya di hadapan rumah Ira, di pangkin yang sering menjadi tempat mereka mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Ketika Ira keluar dari rumahnya, kelihatan Azam telah sedia menunggunya disitu. Tanpa banyak berkata Azam lantas menyerahkan sebuah kotak hadiah kepada Ira.
“Apa ni bang?” soal Ira. “Nak kata birthday Ira, lambat lagi, nak kata pasal lulus periksa pun, keputusan pun tak keluar lagi.”
“Ira, bukalah”, lambat-lambat Azam menuturkan kata.
Ira mendapati seutas rantai tangan di dalam kotak itu. Pada rantai tangan itu terukir ‘Azam ♥ Ira’.
“A.. a.. a.. apa ni bang? Maksud abang? Ira tak paham” nyata Ira agak terkejut dengan pemberian Azam itu. Selama ini dia tidak pernah terfikir yang hubungannya dengan Azam akan pergi sejauh itu. Pada Ira Azam umpama seorang abang, sayangnya Ira pada Azam tak ubah seperti sayangnya dia pada adik beradiknya yang lain.
“Ira,” Azam menarik nafas cuba untuk mendapatkan kekuatan. Dia cuba mencari ayat yang sesuai untuk menjelaskan perasaannya kepada Ira. Bait-bait perkataan yang telah dikarangnya sebelum itu bagaikan hilang begitu sahaja setelah dia berhadapan dengan Ira.
“Abang sebenarnya dah jatuh hati pada Ira. Abang tak tahu sejak bila, tapi makin lama abang rasakan perasaan ini makin mendalam terhadap Ira. Abang cuba nafikan perasaan ini dengan menganggap Ira sebagai adik, tapi tak boleh. Abang harap, abang amat amat berharap, yang Ira juga merasakan perasaan yang sama, sudi tak Ira terima cinta abang?” pinta Azam penuh pengharapan.
“Tapi, tapi, Ira.. Ira anggap abang betul-betul macam abang kandung Ira sendiri. Lagipun Ira tak bersedia lagi nak bercinta. Ira kan masih belajar lagi, Ira nak tumpukan perhatian pada pelajaran dulu,” terang Ira lemah.
“Ira, takkanlah tak ada sekelumit pun perasaan pada abang? Tak bolehkah Ira berikan ruang di hati Ira tu untuk abang?”
“Abang, memang Ira sayangkan abang, tapi sayang seorang adik pada abangnya, tak lebih dari itu. Buat masa sekarang, Ira tak ingin piker lagi soal hati dan perasaan ini, kalau boleh Ira nak tumpukan perhatian pada pelajaran sahaja. Ira harap abang faham. Masih terlalu awal buat Ira untuk bicara soal cinta. Abang sendiri pun masih belajar lagi. Lebih baik abang tumpukan perhatian pada peperiksaan abang.” luah Ira mengharapkan pengertian dari Azam.
“Abang tak perlukan jawapan sekarang, apa kata Ira fikir dahulu, abang sudi tunggu jawapan dari Ira sehingga Ira bersedia. Bercinta tidak semestinya kita tak boleh tumpukan perhatian pada pelajaran. Ira fikirlah dulu baik-baik.” Azam masih tidak mahu mengalah.
“Abang, Ira masih dengan keputusan Ira. Ira nak tumpukan perhatian pada pelajaran dahulu. Ira tak nak fikir soal cinta lagi sekarang atau sekurang-kurangnya sehingga Ira habis SPM. Abang tolonglah faham. Mustahil bagi Ira untuk menukar perasaan sayang terhadap abang menjadi cinta.” Ira sedar dia telah melukakan hati Azam, namun dia tidak mampu untuk menipu perasaan sendiri hanya kerana kasihankan Azam. Hatinya terasa sedih kerana telah melukakan perasaan insane yang telah banyak berjasa padanya.
“Ira, Ira tak boleh terima hadiah ni”. Rantai tangan itu dihulurkan kembali kepada Azam.
Azam memandang rantai tangan itu sepi. Hatinya terasa pedih, jiwanya terasa kosong. Begitu peritnya perasaan apabila cinta tidak terbalas. Dia lantas berpaling dan bergerak menjauhi Ira. Kecewa, geram, malu dan sedih semuanya bercampur menjadi satu. Cintanya ditolak mentah-mentah. Tiada lagi kata-kata yang dapat diucapkannya. Dia ingin segera beredar dari situ.
“Abang” panggil Ira.
Azam berpaling sejenak. “Ira simpanlah rantai tangan tu, buat kenangan”.
“Abang… abang masih abang Ira kan? Kita masih boleh berkawan macam dulu kan?” soal Ira sayu. Dia tidak ingin kehilangan Azam, tapi dia tidak mampu untuk menyambut huluran cinta Azam.
Azam diam tidak berkata-kata, langkah kakinya diteruskan, meninggalkan Ira terpaku sendirian.
Selepas peristiwa malam itu, hubungan Ira dengan Azam menjadi renggang. Tidak seperti selalunya, Azam langsung tidak mempedulikan Ira. Alasannya dia sibuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Walaupun Ira bertandang ke rumahnya, layanan Azam terhadap Ira tetap dingin. Apabila Azam melanjutkan pelajaran ke Australia, mereka bagaikan terpisah begitu sahaja. Semua perkembangan mengenai Azam hanya Ira ketahui dari Ibu Azam. Malah nombor telefon Azam jua diperolehi dari ibunya. Nombor itulah yang digunakan Azam untuk berhubung dengan kedua ibu bapanya. Berita terakhir yang Ira tahu ialah Azam telah berkahwin dengan rakyat tempatan disana pada tahun kedua pengajiannya. Setelah ayah Azam bersara dan berpindah semula ke negeri asal mereka, langsung tiada khabar berita yang diperolehi Ira. Walaupun terasa sedih dengan apa yang berlaku, namun Ira perlu terima hakikat bahawa hubungan dia dengan Azam telah berakhir.
Dan sehingga ke hari ini, rantai tangan itu masih berada di dalam simpanan Ira.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ira tersentap dari lamunannya apa bila mendengar ketukan di mejanya. Apabila Ira mengangkat mukanya, kelihatan bosnya, Haji Suhaimi telah berdiri di sebelah mejanya. Terperanjat Ira, terasa darahnya berderau naik ke kepala. ‘Aduh, macam mana boleh tak perasan ni’ keluh hati Ira.
“Hello Cik Nur Shahira. Awak dah mengelamun sampai ke mana ni? Sampaikan saya yang hensem kat tepi ni pun awak tak perasaan?” tegur Haji Suhaimi.
Haji Suhaimi orangnya baru berusia awal 40an. Sikapnya yang peramah dan kuat bergurau membuatkan stafnya tidak merasa segan dan senang bekerja dengan Haji Suhaimi.
“Alahai bos, sorilah. Saya tengah berangan dating dengan Fahrin Ahmadlah bos, tu yang tak perasan bos kat tepi tu.” Sengih Ira cuba untuk menutup malu.
“Tak habis-habis awak ni dengan Fahrin Ahmad. Saya kan ada. Seribu kali saya lebih hensem dari si Fahrin tu. Apa kata awak dating dengan saya aje, tak payah nak berangan-angan dah,” usik Haji Suhaimi lagi.
“Tapi bos, Fahrin Ahmad tetap pujaan hati saya. Lagipun, kalau saya dating dengan bos, apa kata Kak Salmah nanti, isteri bos tu.” Balas Ira dengan nada mengusik juga.
“Alah, Kak Salmah tu sporting, bila-bila aje dia boleh pinangkan awak untuk saya,” balas Haji Suhaimi di iringi ketawa.
Ira turut ketawa. Haji Suhaimi memang begitu, tapi kata-katanya tidak pernah serius, sekadar mengusik sahaja . Semua staf tahu yang Haji Suhaimi begitu sayangkan isterinya.
“Ha, gelak gelak juga. Ni ada kerja saya nak suruh awak buat. Ada pelanggan nak tempah pamphlet dengan banner untuk restoran dia. Saya nak awak uruskan pelanggan ni. Pukul 11 nanti dia datang berbincang dengan awak. Ni maklumat pasal restoran dia, awak belek-beleklah dulu”, arah Haji Suhaimi.
“Ok bos.”
“Jangan ok ok je. Karang jangan dia sampai awak dok berangan je lagi”, ujar Haji Suhaimi sambil berlalu pergi.
Ira sekadar tersengih-sengih malu di mejanya. ‘Kantoi’.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tepat pukul 11.00 pagi, telefon di atas meja Ira berbunyi.
“Hello”
“Cik Shahira, ada pelanggan nak berjumpa. Dari Restoran Sanggar Selera. Katanya dia ada appointment dengan Cik Shahira”, ujar Kartini, receptionist di ofis itu.
“Oh, ok. Suruh dia tunggu saya di bilik perbincangan no.1”
“Baik Cik Shahira.”
Sebaik meletakkan telefon, Ira terus bergegas ke bilik perbincangan. Nama pelanggan di teliti sekilas. Adalah perlu bagi Ira untuk mengenal pasti nama pelanggan bagi memastikan perbincangan berjalan lancar.
‘En. Hamid? Macam pernah dengar aje nama ni’ olah Ira di dalam hati. Ketika Ira menghampiri bilik perbincangan yang berdindingkan kaca itu, Ira dapat melihat En. Hamid, ayah kepada Zaim telah sedia menunggu dia di situ. ‘Alahai, pokcik gatai ni ke?’.
“Selamat pagi En Hamid.” Ira menegur ramah. Walau bagaimana pun pelanggan perlu dilayan sebaik mungkin. Haji Suhaimi selalu menegaskan kepada mereka untuk melayan pelanggan dengan baik, kerana pelangganlah yang menjadi sumber pendapatan mereka.
“Eh, Ira kerja kat sini ke? Baguslah macam tu, senang kita nak diskus”, mulut En. Hamid lirih menguntum senyuman.
Ira membalas senyuman En. Hamid dengan bersahaja. Ira menarik kerusi di hadapan En. Hamid dan terus duduk.
“Saya difahamkan yang En. Hamid perlukan rekaan untuk pamphlet dan juga banner bagi perniagaan restoran En. Hamid. Saya dah siapkan beberapa contoh yang sesuai , jadi, mungkin En. Hamid boleh pilih beberapa rekaan yang disukai atau mungkin En. Hamid boleh beritahu saya bagaimanakah rekaan yang En. Hamid inginkan.” Hal peribadi perlu ditolak ke tepi. Ira cuba bertindak professional dalam melakukan kerjanya.
“Ish, tak payahlah berencik encik dengan abang. Kita bukan tak kenal. Lagipun panggil abang kan lebih mesra.”
‘Abang?? Eeee.’ Ira hanya tersenyum sebelum membalas. “Oklah Uncle, ini dia rekaan-rekaannya yang dah saya sediakan berdasarkan maklumat yang di beri. Uncle boleh tengok-tengok dulu, kalau ada apa-apa yang hendak ditambah atau diubah.” Sengaja Ira memanggil En Hamid dengan panggilan Uncle.
Ira menghulurkan contoh rekaan yang telah disediakannya kepada En. Hamid. Kesempatan itu digunakan oleh En. Hamid untuk memegang dan mengusap tangan Ira. Cepat-cepat Ira menarik tangannya. En. Hamid masih lagi menguntum senyuman, yang pada pandangan Ira senyuman itu kelihatan cukup mengerikan.
‘Dia mula dah nak menggatal. Aku cucuk juga tangan tu karang.’ Ira terpaksa bersabar memandangkan En. Hamid adalah pelanggan syarikatnya sekarang.
Setelah meneliti seketika rekaan-rekaan Ira itu, En. Hamid lantas memilih satu corak yang dirasakannya bersesuaian.
“Abang rasa, abang pilih yang ini. Tapi abang nak ubah suai sikit kat bahagian ni."
“Ubahsuai yang macam mana tu?” soal Ira.
En. Hamid mengambil kesempatan itu untuk duduk di kerusi yang bersebelahan dengan Ira dengan alasan untuk menunjukkan bahagian yang perlu diubahsuai. Berderau darah Ira apabila menyedari En. Hamid telah pun duduk disebelahnya. Peristiwa malam itu terbayang kembali di mindanya. Meremang rasa bulu romanya. Mujurlah di saat itu Haji Suhaimi masuk ke dalam bilik perbincangan itu menyelamatkan keadaan.
“Assalamualaikum En. Hamid. Macam mana? Semuanya ok ke?” sapa Haji Suhaimi ramah.
“Walaikumsalam Haji. Beres. Semuanya ok. Pekerja Haji ni memang bagus orangnya. Saya puas hati dengan kerja dia” balas En. Hamid dengan senyuman kelat. ‘Kacau daun betullah’.
Ira pula mempamerkan riak wajah kelegaan.
“So, macam mana? En. Hamid dah buat pilihan ke?” soal Haji Suhaimi lagi.
“Ah ye. Saya pilih yang ini. Betul-betul menepati citarasa saya. You boleh teruskan dengan rekaan yang ini.”
“Tadi En. Hamid kata nak ubahsuai, jadi bahagian mana yang perlu saya ubahsuai?” Ira menyoal. Kalau boleh dia ingin segerakan segala urusan dengan En. Hamid.
“Eh, takde, takde. Saya dah cukup puas hati. Tak perlu ubahsuai apa-apa. So Ira, proceed aje dengan yang ini, macam yang dah dibincangkan”
“Ok, kalau macam tu saya akan bawa rekaan ni ke bahagian cetakan. Bila dah siap nanti, kami akan hantarkan pada En. Hamid” jelas Ira. ‘Mengada-ada. Kejap nak ubah, kejap tak nak.'
“Kalau semua dah selesai apa kata kita pergi minum dulu En. Hamid?” pelawa Haji Suhaimi.
“Elok juga tu, jom. Ira tak ikut sekali?” En. Hamid masih cuba memancing.
“Er, tak mengapalah. En. Hamid dengan Bos sajalah pergi. Saya ada banyak lagi kerja nak disiapkan. Saya beransur dulu ke meja saya.”
“Ok Ira. Jomlah En. Hamid, kita minum dekat coffe house di bawah ni”
“Ok jom”.
En. Hamid dan Haji Suhaimi bergandingan keluar dari bilik perbincangan dan terus menuju ke pintu keluar. Ira pula meneruskan langkah ke mejanya. Baru sahaja dia melabuhkan punggung dikerusinya, kedengaran bunyi deringan dari telefon bimbitnya. Sekilas nombor pemanggil di skrin ditenungnya, tapi Ira tidak dapat mengagak siapakah pemanggilnya kerana yang terpapar hanyalah ‘Nombor Peribadi’.
“Hello,” sapa Ira.
“Assalamualaikum. Ira ke tu?” sapa suara di hujung talian. Suara yang cukup Ira kenali. Walau sudah bertahun dia tidak mendengar suara itu tapi Ira pasti dan yakin suara itu adalah milik Azam.
“Waalaikumsalam. Siapa tu?” Sengaja Ira bertanya inginkan kepastian.
“Ira dah tak kenal abang ke? Ini abang Azam la.” Balas Azam kembali.
“Oh, Abang Azam. Lama abang menghilang, tak dengar khabar berita. Hampir tak cam suara abang. Bila abang balik sini?”
“Baru 2 minggu abang balik sini. Ira apa khabar?”
“Sihat alhamdulillah. Mana abang dapat nombor telefon Ira?”
“Oh, Umi yang beri. Abang pergi melawat diorang tempohari dengan Ibu. Ira, boleh tak kita jumpa?” pinta Azam.
‘Ha? Nak jumpa? Azam ada dekat Johor ke?’ Ira tertanya-tanya. “Nak jumpa? Tapi Ira bukan di Penang sekarang”
“Abang tahu, Umi ada cakap yang Ira kerja kat Johor sekarang. Abang pun ada di Johor sekarang. Boleh lah ye Ira. Dah lama kita tak jumpa.” Rayu Azam.
‘Er.. nak jumpa ke tak ni? Tapi apa salahnya kalau jumpa. Abang Azam kan macam abang aku sendiri, lagipun takkan dia nak buat apa-apa dekat aku. Dia kan dah kahwin’ Ira agak ragu-ragu untuk bersetuju dengan permintaan Azam, tapi mengenangkan yang dia dan Azam telah lama berkawan sebelum peristiwa itu, maka dia bersetuju juga untuk bertemu dengan Azam. “Oklah abang, bila tu? Kat mana?”
“Malam ni lepas maghrib boleh? Abang ambil Ira dekat rumah”
“Ha? Ambil Ira kat rumah?”
“Haah. Umi ada bagi alamat rumah Ira. Tak jadi masalah kan?”
‘Ish Umi ni, apa lagilah agaknya pasal aku yang Umi dah beritahu kat Abang Azam.’
“Oklah, malam ni pukul 8.30 lah. Kalau tak nanti kalut sangat Ira nak bersiap” balas Ira.
“Ok. Kita jumpa malam ni. Assalamualaikum”, Azam menamatkan panggilan.
“Waalaikumsalam”.
0 comments:
Post a Comment