Dua bulan sudah berlalu semenjak perbualan Ira dengan Pn. Aishah. Di dalam tempoh ini Ira merasa terlalu penat kerana terpaksa membahagikan masanya diantara kerja, Zaim, kehidupan peribadinya dan juga Azam.

Ah, Azam. Sejak dua bulan lepas Azam sentiasa menagih perhatiannya. Ada-ada saja kehendaknya yang perlu dituruti. Ajak keluar makanlah, tengok wayanglah, pergi jalan-jalanlah dan macam-macam lagi. Kalau tidak dituruti, pasti Azam akan merajuk, malah Azam pernah mengugut untuk terjun dari bangunan semata-mata kerana Ira tidak dapat makan malam bersamanya. Kalau ikutkan hati Ira, lantaklah kalau Azam hendak merajuk sekali pun. Peduli apa dia, malas dia hendak melayan orang yang mengada-ngada macam Azam itu. Tapi apabila mengenangkan janjinya dengan Pn. Aishah, dan juga kerana Azam yang sudah dianggap macam abang sendiri, disabarkan saja hatinya itu.

Mujurlah Zaim seorang teman lelaki yang memahami. Zaim rela mengurangkan masanya bersama Ira asalkan masih setia cintanya. Lagipun Ira sendiri telah menjelaskan kepadanya segala-gala berkaitan Azam. Walau ada cemburu dihatinya, namun kerana kasihnya pada Ira, dia cuba untuk bertolak ansur. Sedikit sebanyak, Zaim juga bersimpati dengan nasib yang menimpa Azam. Tidak dapat dia byangkan keadaan dirinya sendiri sekiranya dia kehilangan Ira.

Dalam tempoh ini juga, perhubungan antara Ira dan Pn. Normah, mama Zaim masih tetap hambar seperti dulu. Setiap kali Ira bertandang ke rumah Zaim, pasti ada saja alasan Pn. Normah untuk melarikan diri dari berjumpa dengan Ira. Sebaliknya, En. Hamid, papa Zaim pula yang terlebih-lebih ramahnya dengan Ira. Meluat pun ada juga dia dibuatnya dengan gelagat En. Hamid yang miang tak bertempat. Dengan buah hati anak sendiri pun nak menggatal. Mentang-mentanglah Zaim cuma anak tiri saja. Mujur dia tidak menggatal di depan Pn. Normah.

Zaim juga jadi bingung dibuatnya, niat hendak rapatkan hubungan antara mamanya dengan Ira, tapi papanya pula yang hendak masuk jarum. Hai, bingung dibuatnya.

~~~~~~~~~~~~~

Malam itu, Ira baru sahaja hendak melelapkan matanya setelah penat bekerja seharian bila telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk.

“Hello..” jawab Ira malas tanpa melihat nama pemanggil tersebut. ‘Siapalah yang telefon malam-malam buta ni. Tak boleh tengok orang senang betul’.

“Ira sayang… dah tidur ke? Abang kacau Ira ke?” Suara Azam kedengaran di hujung talian.

‘Sayang??? Buang tebiat apa abang Azam ni?’ Entah kenapa, Ira rasa sangat jengkel bila Azam memanggilnya begitu. “Taklah, Ira tengah cangkul tanah ni.”

“Cangkul tanah malam-malam buta ni? Nak tanam apa?” balas Azam kembali.

‘Tahu pun hang dah malam-malam buta ni. Yang hang tak gheti-gheti nak tidoq dok telepon aku ni buat apa.’ Omel Ira dalam hati kegeraman. “Nak tanam mayat. Ira rasa macam nak bunuh orang je malam ni.”

‘Serius, memang aku rasa nak bunuh je hang.’

“Ha..ha..ha. Ira ni pandai betul buat lawak. Abang nak ajak Ira pergi tengok wayang esok. Cerita Magika. Dengar kata cerita tu best. Abang dah pun beli dua tiket untuk kita. Abang jemput Ira pukul 10 pagi esok ok. Ira jangan bangun lewat pulak ye.”

“Esok tak boleh lah bang. Ira ada… ha.. Ira ada mesyuarat dengan client.” Cepat-cepat Ira memotong percakapan Azam. ‘Ewah-ewah, ikut suka hati laki mak tiri pak mentua dia aje nak buat keputusan. Minta maaflah, kali ni memang aku takkan ikut kehendak dia. Aku ada date dengan Zaim. Dah la dah lama tak jumpa Zaim.’

“Takkan hari Sabtu pun ada mesyuarat. Ira kan tak kerja hari Sabtu?” Balas Azam tak puas hati.

“Nak buat macam mana, client tu free hari Sabtu je. Lagipun mesyuarat tu penting. Sorilah ye bang.”

‘Nasib hanglah cik abang oi, kena bohong sunat dengan aku..ki..ki..ki.’ Gelak Ira, tapi dalam hati sajalah. Gelak kuat-kuat nanti, kantoi pula dia.

“Ala, takkanlah tak boleh tunda hari lain.” Rayu Azam lagi bersungguh-sungguh.

“Memang tak boleh bang. Mesyuarat esok betul-betul penting. Ini projek besar punya bang. Lain kali ajelah ye.”

“Kalau macam tu, kita pergi lepas Ira habis mesyuarat ajelah. Pukul berapa Ira habis mesyuarat esok?” Azam terus membuat perancangannya.

“Lepas mesyuarat? Ira tak pastilah mesyuarat tu habis pukul berapa. Tapi yang pasti mesyuarat esok mesti habis lambat. Sebab banyak sangat benda nak dibincangkan. Lepas mesyuarat pula Ira kena terus siapkan draft untuk hantar pada boss Ira. Banyak kerja tu bang. Pendek cerita, Ira memang tak dapat nak temankan abang esok. Lagipun abang dah beli tiket kan? Apa kata abang ajak je member-member ofis abang tu pergi sekali. Kalau tak pun, makcik cleaner kat opis abang tu pun ok apa. Oklah bang, Ira dah mengantuk le, esok nak bangun awal mesyuarat. Lain kali kita sembang lagi ye. Assalamualaikum… selamat malam.”

Usai berkata-kata, Ira terus menamatkan panggilan tanpa mempedulikan panggilan Azam berkali-kali.

‘Fuh… kalau dilayan lagi, boleh gila mokcik…. Jangan haraplah aku nak batalkan date aku dengan Zaim esok.’

~~~~~~~

Hari Sabtu itu sungguh cerah. Secerah hati Ira yang dapat meluangkan masa bersama Zaim. Terlerai rasa rindunya pada Zaim. Begitu juga dengan Zaim. Terubat rindu hati dapat menatap wajah orang yang di kasihinya.

Zaim menghantar Ira pulang ke rumahnya selepas menikmati makan malam bersama. Entah kenapa, malam itu Zaim terasa berat hati sekali untuk melepaskan Ira pergi. Lantas apabila Ira hendak masuk ke dalam rumah, cepat-cepat Zaim menahannya.

“Ira, awak tak nak jemput saya masuk dalam rumah ke? Minum kopi ke?”

“Jangan nak mengada. Awak dengan saya belum ada apa-apa ikatan yang sah lagi. Karang tak pasai-pasai kita kena tangkap basah pula,” sergah Ira. ‘Apa kena pula mamat ni, tiba-tiba je nak masuk rumah.’

‘Ya tak ya juga.’ Ujar Zaim di dalam hati sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. 'Aku pun satu, ada ke nak masuk dalam rumah anak dara. Tapi hati aku rasa lain macam le nak lepaskan dia pergi.'

“Oklah awak, saya masuk dulu ye. Tak elok pulak nanti orang Nampak awak lama-lama dekat depan rumah saya ni. Nanti takut timbul fitnah pula.” Pinta Ira.

“Ok, take care sayang.. tidur nanti mimpikan saya.” Usik Zaim.

“Eii.. taknaklah mimpikan awak. Baik saya mimpikan Fahrin Ahmad.” Usik Ira kembali sambil menjelir lidahnya ke arah Zaim.

“Eleh.. macamlah Fahrin Ahmad tu nak masuk dalam mimpi awak,” balas Zaim kembali.

“Eh..mestilah.. saya kan..”

“IRAAAAA!!!!!”

Kata-kata Ira tergantung di situ apabila suatu suara mengherdiknya dengan. Serentak Ira dan Zaim berpusing ke arah datangnya suara itu.

Nun di seberang jalan sana menghadap ke rumah Ira, kelihatan Azam sedang tercegat disitu memandang ke arah mereka. Azam kemudiannya berjalan pantas menuju ke arah Zaim dan Ira. Mukanya kelihatan tegang sekali seumpama singa yang sedang kelaparan.

“Abang.. kenalkan, ni Zaim. Kawan Ira yang Ira ceritakan tempoh hari.” Terang Ira kalut. ‘Buat apa pulak mamat ni kat sini. Lepastu nak tengking-tengking aku pulak tu.’

“Hai, saya Zaim. Selamat berkenalan.”

Zaim menghulurkan tangannya ke arah Azam untuk berjabat salam. Walaupun dia tidak suka Ira diherdik sebegitu tapi dia cuba untuk tidak bersikap kurang ajar. Namun huluran tangannya itu ditepis dengan kasar oleh Azam. Malah Azam langsung tidak memandang ke arahnya.

“Oooo… abang ajak Ira keluar, Ira tak nak. Mesyuarat konon. Rupa-rupanya Ira menggatal dengan jantan ni. Mesyuarat apa dari pagi sampai ke malam baru balik? Dari tengahari tadi tau abang tunggu Ira sampailah ke malam. Ira dah pergi menyundal ke mana hah dengan jantan ni. Kenapa kau curang hah?” Tengking Azam meluahkan kemarahannya kepada Ira.

“Abang!!! Apa abang cakap ni. Ini hak Ira nak keluar dengan siapa pun. Lagipun Ira dengan abang bukan ada apa-apa hubungan pun. Mana ada istilah curang di sini.” Tengking Ira kembali bengang dikatakan sundal.

Zaim pula terpinga-pinga tidak mengerti. Dalam hatinya panas membara dengan tindakan Azam itu. Tapi dia cuba berlagak tenang kerana tidak mahu membuat kecoh di situ.

‘Melampau mamat ni, suka-suka hati dia je serang awek aku. Dia ingat dia tu sapa?’ ujar hati Zaim.

“Melawan kau ye? Melawan ye, sekali aku tangan karang..”

Azam mengangkat tangganya tinggi hendak menampar Ira. Pantas Zaim menahan tangan Azam itu dari menyapa pipi Ira.

“Woo sedara, apahal ni. Kenapa mesti marah-marah macam ni. Takde sebab untuk awak marah-marah, saya keluar dengan Ira ni pun minta izin dengan abah Ira dulu. Keluarga Ira pun dah tahu saya berkawan dengan dia. Jadi kenapa pula sedara nak marah-marah ni. Sampai nak naik tangan ni? Tak gentleman betul macam ni.” Ujar Zaim geram sambil tangannya masih lagi menggenggam erat tangan Azam.

“Engkau diam!!!” Azam menengking Zaim pula. Marah betul dia apabila Zaim masuk campur dalam urusan antara dia dengan Ira.

“Sedara, cuba bawa mengucap. Sabar sedara sabar. Kenapa nak marah-marah macam ni. Tak manis nanti kalau jiran-jiran tengok sedara buat kecoh depan rumah orang. ” Keras kedengaran suara Zaim menegur Azam.

“Kurang ajar punya jantan. Dah bawak bini orang keluar, sampai malam-malam buta baru nak balik, lepas tu nak sound-sound aku pulak. Kalau dah kemaruk sangat nak bercinta, pergi le cari perempuan lain, kenapa bini orang pulak yang nak dikacau?.” Marah Azam kembali pada Zaim sekaligus merentap tangannya dari cengkaman Zaim.

“APAA!!!!! Bini??” serentak perkataan itu terkeluar dari mulut Zaim dan Ira.

“Tak betul agaknya mamat. Ira, saya rasa baik awak masuk dalam rumah dulu. Mamat ni lain macam je ni.” Arah Zaim pada Ira. ‘Gila apa mamat ni, ngaku anak dara orang bini dia sesedap rasa aje. Bila masa pula Ira menikah.’

Mendengar arahan Zaim itu, Ira segera bergegas menuju ke pagar rumahnya, tapi sepantas itu jugalah Azam menyambar tangan Ira menahannya dari masuk ke rumah. Tanpa amaran, Azam terus menyeret Ira menuju kea rah keretanya. Rontaan dari Ira langsung tidak dipedulikannya.

“Abang, apa ni, lepaskanlah. Sakitlah.” Rayu Ira memohon simpati dari Azam.

Azam hanya memekakkan saja telinganya. Tangan Ira tetap juga diseretnya supaya menjauhi Zaim.

Zaim cuba menghalang Azam daripada terus-terusan memperlakukan Ira sebegitu, tapi tanpa dijangkanya, sebuah penumbuk tepat mengena mukanya. Hadiah daripada Azam buatnya. Belum surut rasa sakit dimukanya dan tanpa sempat menyerang balas, sebuah tendangan pula dihayun ke arah perutnya membuatkan Zaim terjelepuk disisi keretanya. Kemudian sebuah lagi tendangan dihayun kebelakang Zaim. Tendangan demi tendangan Azam hadiahkan kepada Zaim supaya Zaim tidak dapat bangun menggangunya lagi.

Selepas itu, Azam terus menolak Ira masuk ke dalam keretanya. Pintu kereta ditutup kuat. Ira menjerit-jerit minta dilepaskan. Azam terus menghidupkan enjin kereta sebaik duduk di tempat pemandu. Kereta dipandu laju meninggalkan Zaim yang terkulai di tepi jalan. Pedal minyak ditekan sehabisnya. Azam terus memecut keretanya tanpa hala tujuan.

Kecut perut Ira dibuatnya. Tidak pernah dia melihat Azam berkelakuan sebegini. Ira merayu-rayu meminta Azam supaya memperlahankan kereta itu dan melepaskannya. Namun rayuan Ira langsung tidak diendahkan oleh Azam. Keretanya terus dipecut selaju yang boleh.

“Perempuan tak kenang budi. Dari jalan terbiar aku ambil kau, ini balasan kau pada aku..” marah Azam pada Ira.

“Apa abang merepek ni?” Suara Ira bernada ketakutan. ‘Sakit dia datang balik ke? Mati aku, macam mana ni? Ya Allah.. selamatkanlah aku Ya Allah.’

“Why? Why Susan? What’s wrong with me? What’s wrong with our marriage? I already give everything to you, is it still not enough? Why must you run away with that damn Jonathan? How could you just left our son like that? How could you? After all that I have done for you?” Azam mula melepaskan amarahnya.

Kereta yang dipandu masih lagi memecut laju. Lampu isyarat dan simpang jalan sudah tidak diendahkannya. Kemana destinasinya, dia sendiri tidak pasti. Yang ada dalam fikirannya sekarang hanyalah hendak melepaskan kemarahannya.

“Abang, sabar bang. Bawa mengucap bang. Ni Ira bang, bukan Susan. Isteri dengan anak abang kan dah lama takde. Abang Azam, istifar banyak-banyak bang. Jangan biarkan nafsu menguasai fikiran abang.” Ira cuba memujuk Azam. Dia yakin yang penyakit jiwa Azam sudah menyerang semula.

“Shut up. Shut up. I hate you… I hate you Susan. I try to give the world to you, but this is how you repay me. Because of you… because of you, I severe ties with my family. How could you do this to me. Damn you Susan, damn you. Damnnnnnn… arghhh.”
Azam melepaskan pegangan tangannya dari stering kereta. Dia menghempas-hempaskan tanganya melepaskan kegeraman pada stering keretanya. Keretanya mula meluncur laju tanpa haluan.

“Abangggggggg… lori bang…..” Ira menjerit.

Terdengar bunyi hon yang panjang diikuti bunyi berdentum yang kuat.
Kepala Ira terhantuk pada cermin kereta. Darah mengalir dari luka di dahinya. Manakala Azam disebelahnya telah terkulai layu dan wajahnya dibasahi darah. Ira menjerit-jerit meminta tolong. Kakinya terasa pedih bagaikan ditusuk oleh benda tajam. Dia langsung tidak dapat menggerakkan badanya.

Orang ramai mula berkejaran ke tempat kejadian. Mereka cuba mengeluarkan Ira dari tempat duduknya tapi tidak berjaya. Pandangan Ira mula kabur, matanya mula layu. Apabila siren kecemasan mula kedengaran sayup-sayup, Ira sudah tidak sedarkan diri lagi.

Dua hari telah berlalu selepas pertemuan makan malam di antara Ira dan Azam. Sepanjang tempoh itu acapkali juga Azam menghubungi Ira sehinggakan rimas Ira dibuatnya. Siapalah yang tidak rimas kalau panggilan yang dibuat sekadar hendak bertanya sudah makan atau belum dan panggilan diterima setiap sejam. Azam juga tidak henti-henti mengajak Ira untuk keluar makan bersamanya. Sesak nafas Ira dibuatnya melayan kerenah Azam. Lama kelamaan Ira mula mengabaikan panggilan-panggilan dri Azam.

Hari itu di pejabat, sejurus sebelum waktu rehat, Ira menerima panggilan dari Puan Aishah, iaitu ibu kepada Azam.

“Ibu!!” Ira terjerit kecil keriangan. “Ya Allah, dah lama Ira tak dengar suara Ibu. Rindunya. Hampir Ira tak cam suara Ibu tadi. Ibu sihat?”

Sejak dari dulu Ira memang sudah terbiasa memanggil Puan Aishah dengan panggilan Ibu. Mungkin kerana keakraban di antara keluarga mereka membuatkan Ira mesra dan manja dengan Puan Aishah.

“Alhamdulillah, Ibu sihat. Ira macam mana sayang? Yelah, sejak Ibu pindah, dah lama kita tak jumpa kan. Dengar cerita Ira dah kerja. So, is everything ok?”

“Ira sihat Ibu. Rasa macam dah terlebih-lebih sihat dah pun hah. Kalau Ibu tengok Ira sekarang mesti Ibu tak cam. Haah, Ira kerja dekat Johor jugak. Cari pengalaman. Kerja pun ok, ibu.” Ira tersengih-sengih sambil bercakap seolah-olah Puan Aishah dapat melihatnya.

“Baguslah macam tu. Seronok ibu dengar. Ira, Ibu telefon Ira ni sebenarnya ada hajat sikit.” Ada nada resah pada suara Puan Aishah.

“Hajat? Macam besar je bunyinya tu. Kenapa ibu? Ibu ada masalah ke?” Tanya Ira prihatin.

“Erm.. ini bukan pasal Ibu. Tapi pasal abang Azam kamu. Dia ada pergi jumpa Ira kan?”

Ira mula berasa tidak senang hati. “Memang dia ada jumpa Ira beberapa hari lepas. Kenapa dengan abang Azam, ibu?”

“Tak ganggu Ira ke kalau Ibu berbual dengan Ira sekarang?” Tanya Puan Aishah gusar andai dia menganggu Ira.

“Takde masalah ibu. Lagipun sekarang tengah tak banyak kerja. Lima minit lagi lak, waktu rehat Ira.”

“Kalau begitu, Ibu harap Ira takkan terkejut ye dengan apa yang Ibu nak beritahu Ira ni.” Sebuah keluhan terdengar dari mulut Puan Aishah.

Daripada berita yang dikhabarkan oleh Puan Aishah, Ira mendapat tahu bahawa Azam telah terlibat dengan sebuah kemalangan semasa berada di Australia. Kemalangan tersebut telah meragut nyawa Susan, isteri Azam dan Daniel, anak tunggal mereka. Hanya Azam yang terselamat dalam kemalangan tersebut. Akibat kecederaan yang agak serius di bahagian kepala, Azam telah koma selama hampir sebulan.

Apabila sedar sahaja dari koma Azam mula meracau-racau memanggil anak dan isterinya. Walaupun telah dikhabarkan yang anak dan isterinya telah meninggal dunia, Azam tetap memekik-mekik memanggil anak dan isterinya. Ada masanya Azam akan bercakap-cakap sendirian seolah-olah sedang berbual dengan isterinya dan bermain dengan anaknya, ada masanya pula Azam akan memaki-maki memarahi dirinya sendiri kerana menyebabkan kemalangan itu berlaku. Menurut kata doktor, Azam telah mengalami tekanan jiwa akibat tidak menerima hakikat yang sebenar.

Ibu dan ayah Azam kemudiannya membawa dia pulang ke Malaysia. Di sini mereka cuba memulihkan kembali Azam dengan mendapatkan bantuan pakar di Malaysia. Malah mereka juga membawa Azam berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional untuk memulihkan Azam. Bermacam-macam cara mereka usahakan namun keadaan Azam masih juga begitu. Hampir-hampir sahaja mereka berputus asa. Apatah lagi dengan keadaan Azam sekarang, sekiranya permintaannya tidak dipenuhi dia pasti akan mengamuk dan dia sering melarikan diri apabila dibawa berjumpa doktor untuk menerima rawatan.

Hinggalah suatu hari, ketika berada di kampung, Azam telah terjumpa gambar Ira yang diambilnya semasa mereka masih bersekolah. Gambar itu kemudiannya bagaikan menjadi azimat buat Azam, kemana sahaja dia pergi, pasti gambar Ira ada bersamanya. Sejak itu juga Azam semakin kurang meracau-racau dan mengamuk, malah Azam menjadi lebih mudah dipujuk untuk berjumpa dengan doktor.

Alhamdulillah, setelah setahun berkeadaan sebegitu, Azam akhirnya pulih. Namun begitu, doktor menasihatkan agar Azam tidak dibebankan dengan sebarang tekanan, atau dia penyakitnya akan kembali semula.

Setelah pulih, Azam telah berusaha mencari kerja semula, namun bukan satu perkara yang mudah baginya kerana tiada majikan yang ingin mengambil pekerja yang mempunyai rekod sepertinya. Tapi nasib menyebelahinya apabila dia berjaya mendapat pekerjaan di selatan tanah air, dan yang paling menggembirakan Azam apabila dia kini akan berada dekat di samping Ira.

Oleh itu, Pn. Aishah ingin meminta jasa baik Ira untuk memerhatikan Azam. Pn. Aishah bimbang sekiranya penyakit jiwa Azam itu akan datang semula. Dia berharap sangat Ira dapat membantunya. Tidak ingin agar sekali lagi satu-satunya anaknya itu ditimpa malang sekali lagi.

Satu keluhan berat terkeluar dari mulut Ira setelah panggilan ditamatkan. Permintaan Pn. Aishah sebentar tadi bukanlah satu permintaan yang mudah. Untuk menjaga seseorang seperti Azam dan hendak selalu memastikan yang dia gembira bukanlah perkara yang senang. Terasa seperti suatu bebanan telah diletakkan di atas bahunya. Ingin saja Ira menolak permintaan Pn. Aishah itu jika tidak mengenangkan jasa baik mereka sekeluarga sepanjang berjiran dengan keluarga Ira. Tambahan pula, Azam pernah menyelamatkan Ira dari hampir mati lemas dahulu.

“Ira, hang boleh buatlah. Lagipun bukan Ibu minta hang jaga dia 24 jam. Tolong tengok-tengokkan je. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat panggil ibu. Nilah masanya nak balas budi dia. Patutlah Abang Azam asyik mengelak aje bila aku tanya pasal family dia, ini rupanya yang terjadi.” Monologue Ira sendirian.

"Aja aja fighting..." Ira menggayakan tangannya ala-ala pelakon korea.

Alangkah tidak percayanya Ira di ketika ini apabila dia sedang duduk berdua-duaan dengan pelakon Fahrin Ahmad, hero melayu pujaan hatinya itu. Tidak sangka pula dia tuah menyebelahi dia apabila dia di istiharkan sebagai pemenang peraduan ‘Kenali Aktor Fahrin Ahmad’ dan sekaligus memenangi hadiah utama iaitu ‘Makan Malam bersama Fahrin Ahmad’. Sungguh dia tidak percaya.

Siapa yang tidak teruja bila dapat menatap pelakon pujaan hati secara berdepan di tambah dengan makan malam bersama di sebuah restoran ekslusif. Sesiapa pun yang berada di tempat Ira pasti merasakan benda yang sama. Cuma satu yang menjadi kemuyskilan di hati Ira, bilakah masanya dia menyertai peraduan tersebut?
‘Jangan-jangan aku mimpi tak? Ah, kalau mimpi pun mimpilah. Peduli apa aku, janji dapat dinner dengan Fahrin… hik hik hik,’ bisik hati Ira sendiri.

Ira sedang memotong ‘steak’ yang berada di pinggannya ketika dia merasakan tangannya disentuh oleh Fahrin Ahmad. Oleh kerana rasa terkejut, Ira pun mengangkat mukanya untuk memandang Fahrin, namun Ira berasa terkejut sekali lagi apabila jejaka yang berada di depan dan sedang memegang tangannya itu ialah Azam, bukannya Fahrin. Kemana pula perginya Fahrin Ahmad? Kenapa pula Azam yang berada disini?

Ira bingung sendiri. Dia pantas menarik tangannya dari gengaman Azam tapi tidak berjaya. Tangan kanannya digenggam oleh Azam dengan lebih erat lagi. Tiba-tiba muncul pula En. Hamid lantas meraih tangan kirinya ke genggaman En. Hamid. Azam yang menyedari kedatangan En. Hamid terus bertindak aggresif dengan menarik Ira ke arahnya. Terhoyong haying Ira dibuatnya. En. Hamid juga tidak mahu mengalah, Ira ditarik kembali agar rapat ke sisinya. Adegan tarik menarik Ira di antara Azam dan En. Hamid terus berlarutan.

Ira di tengah-tengah menjadi keliru. Bagai hendak tercabut tangannya dirasakan di tarik-tarik begitu. Menjerit-jerit Ira minta dilepaskan. Orang ramai yang memerhatikan kejadian itu sudah tidak dihiraukan lagi. Hilang sudah rasa malunya. Penambah kepada kekeliruan Ira ialah apabila Zaim yang entah dari mana, tiba-tiba sahaja muncul dan bertindak selaku pengadil kepada acara tarik menarik itu. Jeritan Ira langsung tidak dihiraukan mereka.

Di tengah-tengah keriuhan adegan tarik menarik itu, kapal persiaran mewah yang mereka naiki telah terlanggar bongkah ais gergasi menyebabkan bahagian limbungannya pecah. Serentak dengan itu, berkumandanglah lagu ‘I’ll Go On’ dendangan Celine Dion dari runut bunyi titanic mengiringi perlanggaran itu.

‘Masa bila lak aku naik kapal ni? Siap ada soundtrack lagi… ayooo.. Ira… apa dah jadi ni?? Pening makcik pening’ Namun kata-kata itu tidak terluah dari mulut Ira, hanya bergema di dalam hatinya sahaja.

Disebabkan impak perlanggaran yang kuat, Ira telah tercampak dari atas kapal dan…..

“Aduhhhhh….” Ira mengodok-gosok punggungnya yang terhentak. Matanya dibuka luas. Hilang sudah bayangan wajah Fahrin Ahmad, Azam, En. Hamid, Zaim dan kapal persiaran mewahnya. Sebaliknya diganti dengan pemandangan bilik tidurnya yang berselerak. Ira kini terduduk di atas lantai setelah terjatuh dari katilnya. Manakala lagu runut bunyi yang didengarinya tadi datangnya dari telefon bimbitnya yang berbunyi menandakan ada panggilan masuk.

‘Ya Allah, aku mimpi aje rupanya. Nasib baik bukan real, ngeri aku,’ bisik hati Ira lagi.

Telefon bimbitnya di tepi katil dicapai. Sekali imbas anak matanya menangkap nama Zaim di skrin telefon bimbitnya. Butang hijau ditekan.

“Assalamualaikum.” Dengan suara lemak merdu baru bangun dari tidur, Ira menjawab panggilan.

“Waalaikumsalam. Ira baru bangun tidur ke?” jawab Zaim. Lama berkawan dengan Ira membuatkan dia dapat mengecam kelainan dalam nada suara Ira.

“Tak lah, Ira baru lepas cat KL Tower.”

“Ha? Ira nak buat lawak ye?”

“Taklah, Zaim tu yang buat lawak. Yang Zaim call Ira pagi-pagi buta ni nak buat apa? Tentulah Ira tengah tidur, takkan tengah karaoke lak.” Lancar sahaja jawapan tu keluar dari mulut Ira.

“Pagi-pagi buta?” Ada nada terkejut dalam suara Zaim, dia kemudiannya menyambung, “Cik Nur Shahira, pagi-pagi buta apanya? Cuba awak tengok jam, sekarang dah pukul 8.30 pagi tau. Bukan 8.30 malam. So, sapa yang buat lawak sekarang ni?”

Giliran Ira pula yang terkejut. ‘Pukul 8.30 pagi? Tapi jam loceng ni baru pukul 3 pagi?’ Dicapai dan dibeleknya jam loceng itu. ‘Alamak, jam aku dah mati’ Dibeleknya pula jam di telefon bimbitnya, ‘Iyelah dah pukul 8.30 pagi'.

“Alamakkkk….. Ira dah lambat.” Jerit Ira.

Bergegar gegendang telinga Zaim mendengar jeritan Ira. Mujur juga hanya di dalam telefon, kalau secara berdepan, nescaya telinga Zaim sudah tertanggal keluar.

“Oklah Zaim, Ira nak siap dulu, nak pergi ofis. Karang kita sambung lagi ek”

Ira terus mematikan talian tanpa menunggu balasan daripada Zaim. Hanya satu dalam fikirannya, dia sudah lambat ke pejabat, walau pun masa pejabatnya bermula pukul 9.00 pagi, namun dari rumah sewanya ke pejabat mengambil masa setengah jam. Itu belum campur waktu untuk dia mandi dan berpakaian lagi. Sarapan jangan ceritalah, memang tidak sempat. Mujur juga dia sedang mengibarkan bendera merah pada hari itu.

Bergegas Ira mandi dan bersiap ala kadar sahaja. Mulutnya membebel-bebel di atas kelalaiannya menukar bateri jam dan tidak menetapkan waktu dai telefon bimbitnya. Sebalnya bertambah apabila mengenangkan yang Ekin langsung tidak membantu mengejutkannya. Selalunya, Ekin akan mengejutkan dia kalau dia masih belum bangun setelah 7.00 pagi. Kalau tidak, tidaklah dia kalu-kalut sebegini. Pasti Ekin masih terasa hati dengannya gara-gara soalan Ekin semalam yang dibiarkan tidak berjawab.

Apabila menutup pintu biliknya, jelas kelihatan sekeping nota yang dilekatkan disitu;

Ira, bangun!!!! Dah pukul 7.30 pagi dah ni.
Ekin.

‘Ceh, bertuah punya kawan. Ada ke macam gini dia kejutkan aku bangun.’

~~~~~~~~~~~~~

Ira tiba di pejabat tepat pukul 9.30 pagi. Gelabah tidak terkira Ira dibuatnya. Sejak bekerja di situ, inilah kali pertama Ira datang lambat. Kecut perutnya membayangkan rupa Haji Suhaimi memarahinya di atas kelambatannya itu. Terhendap-hendap dia sewaktu melintasi bilik Haji Suhaimi. Lagaknya tidak ubah seperti musang yang hendak mencuri telur ayam sehinggakan Penyambut Tetamu di kaunter receptionist juga kehairanan melihat tingkah laku Ira.

Memang sengaja Haji Suhaimi meletakkan bilinya di bahagian hadapan. Katanya, mudah untuk dia memantau pekerja-pekerjanya, siapa yang datang lambat dan siapa pula yang balik awal sebelum habis waktu bekerja. Jadi setiap pekerja perlu melintasi biliknya terlebih dahulu sebelum ke meja masing-masing.

Lega hati Ira apabila dilihatnya Haji Suhaimi tiada di dalam biliknya. Sangkanya Haji Suhaimi belum sampai lagi. Rutin masuk kerja Haji Suhaimi sudah dihafalnya. Bosnya itu selalu datang awal ke pejabat, tapi sekiranya dia belum masuk setelah waktu kerja bermula, dia pasti akan masuk pada pukul 10 pagi.

Kelegaan Ira itu tidak bertahan lama apabila dia melihat tubuh Haji Suhaimi sudah sedia menunggu ketibaannya di mejanya. Melihat kedatangan Ira, Haji Suhaimi spontan menaikkan tangannya dan menunjukkan jam tangannya kepada Ira. Keningnya di angkat-angkat lagak Ziana Zain sebagai isyarat kepada Ira menunjukkan yang Ira dah lambat. Bagi syarikat kecil seperti syarikatnya ini, memang agak mudah bagi Haji Suhaimi untuk memantau pekerjanya. Jumlah pekerjanya sendiri boleh dibilang dengan jari membuatkan dia mengenali setiap pekerjanya.

‘Alamak, matila aku. Takpe Ira, cool Ira cool. Bukannya Haji Suhaimi nak telan ko. Dia kan ok… huhu.’ Keluh Hati Ira.

“Cik Nur Shahira, awalnya awak sampai hari ni? Atau saya yang terlambat datang?” sindir Haji Suhaimi. “Apa alasan awak masuk kerja terlebih awal hari ni?”

“Ala, sorila bos. Bukan selalu saya datang terrrrrrrrlebih awal macam ni.” Ira menayangkan muka seposen mengharapkan simpati dari Haji Suhaimi.

“Kalau selalu awak datang terrrrrrlebih awal macam ni, saya dah bagi surat cinta dah kat awak, 3 patah perkataan je saya tulis dalam tu, YOU ARE FIRED!!!!, bak kata Donald Trumph.”

“Ala bos, janganlah macam tu bos. Saya terlajak tidur tadi. Jam loceng saya lak mati. Tu sbb lambat bos.” Perlahan saja suara Ira menuturkan kata-katanya. Merah padam mukanya menahan malu. Apalah yang akan difikir oleh Haji Suhaimi dan kawan-kawan sepejabatnya bila dapat tahu dia lambat sebab terlewat bangun.

“Hei anak dara, bangun lambat, tu tak lain tak bukan mesti malam tadi tidur lambat layan citer Titanic dekat TV3. Siap tisu sekotak lagi buat lap air mata. Takpe, hari ni gaji masuk, awak pergi beli jam loceng baru. Yang lama tu campak aje masuk dlm tong sampah. Amaran pertama untuk awak. Kalau datang lambat lagi, memang awak dapat surat cinta dari saya.” Walau ada gurauan namun nada suara Haji Suhaimi tetap tegas, tanda amaran pada pekerjanya yang Haji Suhaimi boleh dibawa bergurau tapi bila bekerja mesti serius. “Sebagai hukuman untuk awak datang terrrrrrlebih awal hari ni, bancuhkan kopi ‘O’ kaw untuk saya.”

“Baik bos.” Pantas jawab Ira. Tangannya di angkat gaya askar pencen menabik kepada Haji Suhaimi. Senyuman terukir dibibirnya. Lega kerana Haji Suhaimi sudi berkompromi dengan kesalahan pertamanya itu.



Selepas menghantar air ke bilik Haji Suhaimi, Ira lihat ada pesanan ringkas yang masuk di telefon bimbitnya. Pesanan dari Zaim mengajaknya makan tengahari bersama.

~~~~~~~~

Zaim membawa Ira makan tengah hari di sebuah restoran makanan Thai yang berhampiran dengan pejabat Ira. Walaupun di dalam hatinya umpama gendang sedang dipalu Zaim tetap bersabar menanti waktu yang sesuai untuk dia bertanyakan kisah semalam.

Sambil menjamu selera, Zaim akhirnya membuka mulut bertanya kepada Ira perihal cerita yang dikisahkan kepadanya oleh mamanya.

“Ira, Zaim nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah, sejak bila pula Zaim mintak izin dulu sebelum bertanya ni? Selalu main redah je?” Pelik Ira dengan gelagat Zaim. Sejak dari tadi dilihatnya Zaim seperti cacing yang kepanasan.

“Mama kata, semalam dia jumpa Ira dekat restoran papa. Betul ke?”

“Betullah tu, kenapa?”

“Ira pergi sana dengan siapa?” Ada nada cemburu disitu.

“Dengan kawan.” Di saat ini Ira sudah dapat mengagak maksud pertanyaan Zaim, namun sengaja dia bermain tarik tali dengan Zaim. Ingin melihat sejauh mana rasa cemburu Zaim. Bertahun berkawan dengan Zaim dia sudah dapat meneka perubahan nada suara Zaim.

“Lelaki ke perempuan?” soal Zaim lagi tidak berpuas hati dengan jawapan Ira yang pendek itu.

“Lelaki, pakwe nombor 10 Ira. Kenapa? Cemburu ke? Janganlah cemburu, madu Zaim juga tu.” Selamba sahaja jawapan Ira.

Zaim yang mendengar jawapan Ira itu terus tersedak. Nasi yang ditelan terasa seumpama seketul batu melekat di kerongkongnya. Sampai hati Ira menduakan dia, eh, mensepuluhkan dia.

Meletus tawa dari mulut Ira melihat tingkah Zaim. Air suam di dalam gelasnya disuakan kepada Zaim apabila dilihat muka Zaim telah merah akibat tersedak. Zaim yang masih terasa hati dengan jawapan bersahaja Ira menepis perlahan huluran gelas air itu. Tangannya memanjang mencapai gelas airnya sendiri. Air tembikai di dalam gelas di teguk rakus bagi melegakan tekak yang perit.

“Merajuk la tu. Ei… buruk tau orang tua merajuk. Ira main-main ajelah. Semalam Ira keluar makan dengan abang Azam. Kawan sekampung Ira dulu. Abang Azam tu dah macam abang Ira sendiri tau. Keluarga kitorang pun dah rapat macam sedara. Kan dulu Ira dah ceritakan pasal abang Azam dekat Zaim.” Tersenyum-senyum Ira menuturkan kata.

“Ira ni memang tau. Suka main-mainkan Zaim. Habis tu, kenapa tak beritahu Zaim yang Ira keluar dengan dia?” Wajah Zaim yang tadinya kelat sudah bertukar ceria.

“Kredit Ira dah habis. Lupa nak top-up. Zaim cemburu ye?”

“Cemburu? Huh, buang masa aje.”

“Eleh, konon. Ok, kalau tak cemburu, lain kali bolehlah Ira buat lagi.”

“Ira!!!!!”

Meletus lagi tawa dari mulut Ira. Merah padam muka Zaim, tapi akhirnya Zaim juga turut tertawa, tahu Ira mengusik dia. Di saat ini Ira terasa sungguh bahagia. Cemburu itu bukankah tandanya sayang.

Baru sahaja menghampiri tangga, Zaim sudah tercium keharuman nasi goreng yang dimasak oleh mamanya. Terus sahaja Zaim berasa lapar. Pantas kakinya melangkah menuruni anak tangga.

“Assalamualaikum mama, selamat pagi.” Tegur Zaim sebaik melangkah masuk ke ruang makan. “Wah, sedapnya bau nasi goreng mama. Lapar Zaim dibuatnya. Ni yang tak sabar nak makan ni.”

“Walaikumsalam. Alah, anak mama ni memang, kalau bab makan, cepat aje. Nak nak lagi kalau nasi goreng.”

Tersengih-sengih Zaim mendengar teguran mamanya. Dia menarik sebuah kerusi di meja makan dan terus duduk. Pinggan dicapai, nasi goreng disendukkan ke dalam pinggan.
“Papa tak turun lagi ke mama?” soal Zaim.

“Kejap lagi papa turunlah tu. Zaim makanlah dulu, nanti lambat pula ke pejabat,” ujar Pn. Normah, mama Zaim. Pn. Normah menarik sebuah kerusi dan duduk di sebelah Zaim. Air nescaffe ‘O’ panas kegemaran Zaim dituangkan ke dalam cawan dan diletakkan di hadapan Zaim.

“Wah, nasi goreng, nescaffe ‘O’, semua favourite Zaim. Mama ni ada apa-apa ke nak ambil hati Zaim ni?” usik Zaim.

Laju saja Zaim mengunyah nasi goreng. Nasi goreng mama memang sedap. Kalau tidak, masakan mama mampu buka sebuah restoran dengan papa. Pn. Normah memerhatikan saja Zaim makan dengan penuh berselera. Masuk ke suapan ke-lima, Pn. Normah mula membuka mulut untuk berkata-kata.

“Zaim, mama nak cakap sikit. Kawan Zaim tu, kawan perempuan Zaim yang Zaim ajak datang rumah hari tu,” lambat-lambat Pn. Normah menuturkan kata.
“Erm.. Ira?” Zaim memberhentikan suapan. Kepalanya diangkat sedikit. ‘Kenapa mama tiba-tiba cakap pasal Ira ni? Mama dah boleh terima Ira ke?’ Zaim senyum sendiri mengharapkan telahannya benar.

“Mama ni bukanlah nak mengata, tapi mama sendiri nampak malam semalam, dia keluar dengan jantan lain. Bukan main mesra lagi mama tengok, siap ber’abang-abang lagi,” lirih Pn. Normah bercerita sambil matanya menjeling ke arah anak terunanya itu.
Diam. Tiada balasan dari Zaim, hanya tangannya sahaja memutar-mutarkan sudu pada pinggan nasi gorengnya.

‘Abang?’ Setahu Zaim, Ira anak sulung. Masakan Ira mempunyai abang pula. Mungkin juga itu abang sepupunya. Tapi tidak pula Ira beritahu dia yang Ira keluar malam tadi sedangkan sudah menjadi rutin Ira untuk memaklumkan kepada Zaim kemana jua dia pergi semenjak mereka berkawan. ‘Mungkin abang sepupu dia tak.’

“Zaim,” panggil Pn. Normah setelah tiada reaksi dari anaknya itu.

“Mungkin tu abang sepupu dia kot,” balas Zaim bersahaja. Malas hendak melayan rasa cemburu yang sudah menapak di hati. Lagipun dia tidak mahu cepat melatah di hadapan mamanya. Bimbang nanti mamanya akan menjadi lebih tidak suka kepada Ira sekiranya dia tersalah cakap.

“Takkanlah dengan abang sepupu mesra macam tu sekali. Siap pegang pegang tangan, bertepuk tampar bukan main lagi. Berjalan rapat-rapat macam belangkas. Ish, tak berkenanlah mama tengok. Langsung tak jaga sopan santun.” Sengaja Pn. Normah menokok tambah cerita. Riak bersahaja Zaim membuatkan Pn. Normah berasa tidak puas hati.

“Mama salah tengok tak?” Zaim masih mempamerkan wajah selamba. Namun di dalam hati, bagaikan digaru-garu. Nasi goreng yang tadinya sedap mula terasa kesat di kerongkongnya. ‘Betul ke cakap mama tu? Entah-entah mama saja tak reka cerita. Mama kan tak suka aku kawan dengan Ira.’

Bukannya Zaim tidak mahu mempercayai kata-kata mamanya sendiri, tapi sudah masak benar dia dengan kerenah mamanya. Sekiranya mamanya tidak sukakan sesuatu perkara itu, pasti mamanya akan usaha supaya perkara itu tidak menjadi.

“Mata mama ni, bukannya rabun. Masih cerah lagi. Lagipun dia dengan kawan lelakinya tu singgah makan dekat restoran papa semalam. Mama cam sangat rupa budak perempuan tu. Terpulanglah kalau Zaim tak nak percaya cakap mama, kalau Zaim lebih nak percayakan buah hati Zaim tu. Terus terang mama cakap, mama tak berkenan dengan budak perempuan tu, kalau itu pilihan hati Zaim. Budak tu tak layak jadi menantu mama. Mama dah rancang nak jodohkan Zaim dengan Alisha. Zaim sendiri pun dah tahu pasal ni. Jadi mama rasa tak ada gunanya lagi Zaim berkawan dengan budak perempuan tu. Lebih baik Zaim putus je dengan budak tu.” Ujar mama Zaim tegas tanpa berselindung akan kehendak sebenarnya. Padanya hanya Alishalah yang layak menjadi menantunya dan dia tidak mahu rancangannya itu di ganggu dengan kehadiran Ira.

“Mama, dah banyak kali Zaim bagitahu, Zaim tak ada apa-apa perasaan dengan Alisha. Pada Zaim, Alisha tu tak lebih dari seorang adik aje. Lagipun bukan ke Auntie Maisara tu anak angkat atuk? Jadi, secara tak langsung, Alisha tu dah jadi sepupu Zaim sendiri. Dulu, masa atuk jodohkan mama dengan abah, mama pun tak setuju juga. Mama tak suka bila atuk paksa mama terima abah. Sekarang, kenapa mama nak paksa Zaim pula?” Ada nada sendu di situ bila Zaim menyebut mengenai abahnya.

“Wah, Zaim sekarang sejak berkawan dengan budak tu dah pandai melawan ye. Sampai Zaim lupa yang sekarang ni Zaim sedang cakap dengan mama.” Bentak Pn. Normah. Geram sungguh dia bila Zaim mengungkit kisah lama.

“Budak tu ada nama mama, nama dia Ira.”

Pn. Normah menarik muka masam. Marah hatinya tidka terkira bila Zaim terus-terusan membela Ira dan membangkang kata-katanya.

“Mama.” Panggil Zaim perlahan, namun tiada reaksi dari Pn. Normah. “Zaim mintak maaf kalau Zaim dah membuatkan mama tersinggung. Tak terlintas di hati ni untuk melawan kata-kata mama. Tapi Zaim pinta, cubalah mama faham hati dan perasaan Zaim ni. Hati ni cuma terpikat pada Ira mama.” Lembut Zaim berkata-kata memohon pengertian dari mamanya. Tangan mamanya diraih dan dikucup lembut sebagai tanda memohon maaf.

“Apa saja yang dua beranak ni bising-bisingkan. Sampai ke tingkat atas bunyinya,” tegur En. Hamid yang baru tiba di meja makan. Dari tangga lagi dia sudah terdengar suara isterinya berbalah-balah dengan anak tirinya itu.

“Mama, Zaim ke pejabat dulu. Ada banyak kerja hendak diselesaikan.” Zaim mengambil kesempatan itu untuk beredar dari situ. Tidak ingin memanjangkan perbalahan antara dia dengan ibunya. Selebihnya dia tidak ingin andai kata-katanya akan menambahkan luka di hati mamanya. Tangan ibunya dikucup lembut sebelum dia beredar.

Pn. Normah sekadar menghantar Zaim pergi dengan lirikan matanya sahaja. Berbuku rasa tidak puas hatinya di dalam dada.

“Tegur sikit tak boleh. Sayang sangat buah hatinya tu, sampai dah pandai melawan mama dia. Entah apa yang ada pada budak perempuan tu entah sampai Zaim tergila-gilakan dia. Jangan-jangan pakai bomoh tak.” Rungut Pn. Normah sebaik sahaja Zaim hilang dari pandangan.

“Isk awak ni. Zaim tu kan ke dah besar. Biarlah dia pilih sendiri jodoh dia. Lagipun saya tengok Ira tu ok aje, cantik pun cantik, dengan orang tua pun dia hormat. Kenapa yang awak tak berkenan sangat dengan si Ira tu pun saya tak tahulah. Kalau Ira tu tak boleh jadi menantu awak, apa kata dia jadi madu awak aje.” Selamba En. Hamid berkata-kata. Senyuman terukir di bibirnya bila teringatkan Ira.

Pn. Normah menjeling tajam pada suaminya. En. Hamid pura-pura tidak nampak. Makin bertambah marah Pn. Normah dibuatnya dengan kata-kata En. Hamid itu. Dalam hatinya nekad, Ira mesti dipisahkan dari Zaim.

~~~~~~~~~~~

Zaim melepaskan keluhan berat sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi di pejabatnya. Berserabut kepalanya mengenangkan sikap mamanya yang betul-betul memusuhi Ira. Tangannya memicit-micit kepalanya lagak seperti orang yang sedang pening.

Telefon di atas meja dicapai. Pantas sahaja jari jemarinya mendail nombor telefon bimbit Ira. Lama Zaim menunggu namun panggilannya tidak bersambut. Dibiarkan mati begitu sahaja. Zaim mendail sekali lagi. Seperti tadi, panggilannya masih tidak bersambut. Tidak berputus asa, didailnya nombor Ira sekali lagi. Dia inginkan jawapan dan kepastian dari mulut Ira sendiri. Tidak ingin rasa cemburu dan wasangka ini terus marak dalam hatinya.

Zaim gelisah menunggu, mengharapkan panggilannya bersambut. Di dalam hatinya umpama badai sedang bergelora.

Ira sedang duduk menunggu kedatangan Azam di ruang tamu rumah sewanya ketika Ekin menyapa Ira.

“Amboi hang. Wangi-wangi ni nak pi mana? Nak pi jumpa boypren ka? Hai, orang tengah kemaruk bercinta ni, tiap-tiap malam nak jumpa. Kahwin ajelah,” usik Ekin.

“Nak pi menikah la ni. Kejap lagi Zaim mai. Kami nak pi menikah kat siam,” balas Ira selamba.

“Banyakla hang punya menikah kat siam. Masin mulut tu kang, baru hang tau. Menikah la hang sungguh-sungguh kat Siam.” Ekin mencemik bibir ke arah Ira. “Betul-betul la, hang nak pi mana?”

“Keluar dengan kawan lama kejap, kawan masa kecil kat kampung dulu” terang Ira lambat-lambat. Faham benar dia dengan perangai Ekin. Selagi tidak dapat jawapan yang sebenarnya selagi itulah dia akan mendesak Ira untuk mendapatkan jawapan.

“Ooohh.. kawan ma…” kata-kata Ekin terhenti apabila hon kereta kedengaran.

“Ha.. dah sampai pun. Oklah Ekin, Ira pergi dulu ye.. babai.” Ira terus bergegas keluar rumah. Bukanlah kerana dia tidak sabar untuk bertemu dengan Azam, tapi kerana hendak mengelakkan soal jawab berpanjangan dengan Ekin.

Azam yang melihat kelibat Ira keluar dari sebalik pintu rumah sewanya bingkas keluar dari kereta dan membukakan pintutempat duduk di sebelah pemandu untuk Ira.

“Er…” Azam memandang Ira dari atas ke bawah.

“Kenapa abang pandang Ira macam tu?” soal Ira kehairanan. ‘Aku pakai baju terbalik ke? Ke aku lupa zip seluar?’ Ira mula rasa gelisah dengan pandangan Azam. Namun setelah melihat pemakaian Azam yang begitu kemas dengan slack, kemeja bercorak kotak dan lengkap berblazer berbanding dengan dirinya yang janya memakai jeans dan t-shirt, dia rasa dia faham maksud pandangan Azam tu.

“Ala bang… kena pakai formal ke? Nak Ira tukar baju ke?”

Azam sekadar senyum dan menjawab, “No, it’s ok. Salah abang juga sebab tak beritahu Ira awal-awal kita nak kemana.”

Azam kemudiannya menanggalkan blazernya, dan menggulung lengan kemejanya sehingga ke paras siku supaya kelihatan lebih kasual. Ira hanya memerhatikan tindak-tanduk Azam dengan pelbagai tanda tanya.

“So, shall we go now?” soal Azam sambil mempelawa Ira masuk ke dalam kereta.

“Ok,” balas Ira pendek.

Kereta mula bergerak meninggalkan kawasan perumahan Ira.

“Abang sebenarnya dah tempah meja untuk kita dinner di M Suite, lupa pula nak beritahu Ira awal-awal. Lupa dengan habit adik abang ni yang lebih gemar berpakaian kasual. Tapi nampaknya sekarang kena ubah rancangan, sebab abang pasti Ira tentu tak nak ke sana dengan pakaian begini kan?” jelas Azam sekaligus memecahkan kesunyian di dalam kereta itu.

“Oh..” Hanya itu yang terluah dari mulut Ira. ‘Manalah aku nak tahu kalau tak bagitau awal-awal,’ ngomel hati Ira.

Lima belas minit kemudian, Azam memberhentikan keretanya tidak jauh dari sebuah restoran. Setelah memastikan yang keretanya telah diparkir dengan baik, dia pun mematikan enjin keretanya.

“Ira… kalau kita makan kat sini ok ke? Abang tak berapa sure le nak pergi mana kat area JB ni. Atau Ira nak cadangkan tempat lain?” soal Azam. Sejak dari kecil lagi, Azam memang cukup mengambil berat tentang kehendak dan keselesaan Ira.

Ira memalingkan kepalanya melihat kea rah restoran yang dimaksudkan Azam.

‘Sanggar Selera?? That surely sound familiar.’ hatinya mengomel lagi.

Namun oleh kerana malas hendak memeningkan kepala, Ira hanya mengikut sahaja cadangan Azam untuk menjamu selera disitu.

“Kat sini pun oklah abang. Ira pun belum pernah cuba makan kat sini.”

“Ok.. jom kita masuk ke dalam,” pelawa Azam.

Azam melihat meja di sudut yang agak terpencil sedikit di dalam restoran itu supaya dia dan Ira dapat berbual dengan lebih selesa lagi. Sebaik sahaja mereka duduk, pelayan restoran itu segera mendatangi mereka dan memberikan menu kepada mereka. Senyuman sentiasa terukir di bibir pelanggan itu. Sejurus kemudian dia beredar dari meja itu untuk memberikan Ira dan Azam ruang untuk membuat pilihan. Ira memandang sekilas ke sekeliling restoran.

Dekorasi restoran itu ringkas sahaja tapi tetap tampak elegan dan menarik hati. Dindingnya bercat dengan warna yang agak lembut dan dihiasi dengan gambar-gambar pemandangan menjadikan sejuk mata memandang. Di tengah-tengah restoran itu pula terdapat sebuah akuarium yang agak panjang dan kira-kira dua kaki lebarnya dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan laut diletakkan secara memanjang diatas kabinet kayu yang berukir, seolah-olah membentuk satu penghadang disitu. Di kiri kanan akuarium itu pula diletakkan meja makan. Jadi pelanggan dapat menjamu selera sambil menikmati keindahan akuarium.

‘Cantik, layanan pun bagus,’ omel hati Ira. ‘Lain kali nak ajak Zaim datang sinilah, sure romatik.. hihihihi.’

“Ira nak makan apa?” soal Azam sekaligus memerhatikan lamunan Ira.

“Ha.. abang tanya apa tadi?” soal Ira kembali.

“Hai, adik abang ni memang le kuat berangan betul. Dari dulu tak berubah-ubah rupanya. Abang tanya, Ira nak makan apa?”

“Oh.. er.. Ira nak makan kuew teow tomyam la. Minum pulak fresh orange.”

“Ok.” Azam lantas memanggil pelayan restoran itu untuk mengambil pesanan mereka.

“Ye encik, nak pesan apa?” soal pelayan itu penuh sopan.

“Erm.. kuew teow tomyam satu, nasi goreng daging merah satu, fresh orange dua.” Azam membuat pesanan.

“Ok, ada apa-apa lagi nak tambah encik?”

“Takde, itu saja. Thanks.”

Pelayan itu menganggukkan kepalanya dan terus beredar ke dapur membawa pesanan Azam dan Ira.

Ira dan Azam berbual-bual terlebih dahulu sementara menunggu pesanan mereka tiba. Sedikit sebanyak Ira dari perbualan mereka Ira dapat mengetahui apa yang telah berlaku pada Azam. Namun satu yang memusykilkan hati Ira, sepanjang perbualan mereka, Azam langsung tidak menyentuh pasal isterinya.

“Abang, isteri abang mana? Dia tak ikut balik sekali ke? Berapa orang dah anak abang?” Ringan sahaja mulut Ira bertanya.

Riak wajah Azam terus berubah apabila diajukan soalan sebegitu, mujurlah makanan yang dipesan mereka tiba pada waktu itu.

“Ha.. dah sampai pun makanan. Makan dulu jom, makan panas-panas baru best.” Azam mengambil kesempatan itu untuk mengabaikan soalan Ira. Tetapi, helah Azam itu tidak menjadi. Baru sesuap dua makanan mencecah ke mulutnya, Ira sudah mula mengajukan soalan yang sama lagi.

“Abang tak jawab lagi soalan Ira tadi.” Ujar Ira tidak berpuas hati.

“Ira… kalau makan tak baik bercakap. Kan ke mulut tengah penuh tu...”

“Ala bang… Ira cuma nak…. Uhuk..uhuk.” Ira tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila dia tiba-tiba tersedak. “Air.. air.”

“Baru je tadi abang tegur. Degil, kan dah tersedak”

Azam menghulurkan air minuman kepada Ira. Dengan rakus Ira menegur air itu sehingga separuh segelas.

“Abang la, orang tanya tak nak jawab…. Cuba kalau…” sekali lagi ayat Ira terhenti apabila seseorang menghampiri meja mereka.

“Eh, Ira ada di sini?”

Ira mendongakkan kepalanya untuk melihat pemilik suara. Alangkah terkejutnya dia apabila terlihat En. Hamid sedang berdiri di sebelahnya.

‘Ya Allah, macam mana orang tua gatal ni boleh ada kat sini?’

“Er, Uncle. Apa khabar? Uncle pun datang makan dekat sini jugak ke?” soal Ira cuba beramah.

“Ira.. my dear. Inikan restoran A..” kata-kata En. Hamid termati apabila menyedari Azam ada bersama mereka disitu, dia kemudian pantas menyambung, “restoran milik Uncle. Tak ingat? Sanggar Selera? Tempoh hari bukan ke Ira yang buatkan pamphlet untuk Uncle.”

“Oh… patutlah macam pernah dengar je nama restoran ni. Ira lupa le Uncle,” sambil menepuk dahi. ‘Isk, macam mana la aku boleh lupa, kalau tidak, minta maaflah aku nak masuk restoran ni.’

Ira tetap memaniskan roman mukanya. Walau macam manapun En. Hamid tetap papa Zaim. Jadi baik atau buruknya dia kenalah terima. Bagaimana hendak jadi menantu kalau mentuanya dibenci. Bila dah jadi mentua dia nanti, takkanlah dia hendak lari-lari lagi dari bersemuka dengan En. Hamid. Tentu rumahtangga dia dengan Zaim akan jadi haru biru nanti. Sungguh jauh fikiran Ira melayang.

“Tak nak kenalkan ke Uncle dengannn….” En. Hamid menjeling ke arah Azam. Ada nada cemburu dalam suaranya.

“Azam, saya teman lelaki Ira.” Azam memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan. Tersentak En. Hamid mendengar kata-kata Azam, huluran tangan disambut lambat-lambat.

“Aha ha ha. Abang Azam memang suka bergurau. Sebenarnya Uncle, Abang Azam ni kawan Ira dari kecik. Dah macam abang kandung Ira sendiri.” Cepat-cepat Ira memperbetulkan keadaan. ‘Apalah abang Azam ni, suka suki dia je ngaku teman lelaki. Kalau dengar dekat Zaim, mampus aku.’

“Ira..” ternyata Azam tidak berpuas hati dengan penjelasan Ira, namun cepat-cepat Ira menukar topik perbualan.

“Sedap ye makanan kat sini, patutlah restoran Uncle ramai pelanggan.”

“Ah?? Ah ye.. tukang masak di sini semuanya Uncle bawa khas dari Bangkok. Oklah Ira, Uncle ada kerja sikit di kaunter. Selamat menjamu selera”. En. Hamid menghadiahkan senyuman manis buat Ira, dan apabila dia berpaling pada Azam, senyumannya menjadi sinis dan pada sinar pandangan matanya seolah-olah cuba mengatakan, ‘Teman lelaki Ira konon.. huh’ dan terus berlalu dari meja itu.

“Siapa tu?” soal Azam sebaik sahaja En. Hamid beredar.

“Er.. tu ayah kawan Ira. Kawan dekat Universiti.”

“Kawan? Lelaki ke perempuan?”

“Abang, tengah makan tak baik bercakap, nanti tersedak.” Ira memulangkan paku buah keras.

“Oh… pandailah dia tu, bila dia bercakap takpe pulak.”

Malas hendak membalas, Ira sekadar tersenyum sambil menunjukkan pinggan makanan Azam dan membuat isyarat menyuruh Azam makan. Mujurlah Azam tidak berterusan menyoal. Dia menyambung kembali suapannya yang terhenti tadi apabila dilihatnya Ira tidak berminat untuk menjawab soalannya. Sedikit sebanyak Ira berasa lega walaupun nasi yang disuapnya terasa bagaikan pasir masuk ke kerongkong.

Selesai makan, Ira terus meminta Azam menghantarnya pulang dengan alasan dia merasa letih kerana terlalu banyak kerja yang hendak disiapkan di pejabat siang tadi. Azam menurut sahaja. Selepas membuat pembayaran, Azam meminta diri untuk ke tandas sebentar dan meminta Ira menunggunya di luar restoran.

Pada ketika inilah Ira terasa bagaikan terdapat satu pandangan tajam menikam dirinya. Apabila Ira menoleh ke kanan dia terlihat Pn. Normah, mama Zaim, sedang memerhatikannya. Ira baru hendak membuka mulut menegur tetapi Pn. Normah telah pun berlalu masuk ke dalam restoran tanpa mempedulikan Ira.

~~~~~~~~

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Ira dan Azam lebih banyak membisu. Hanya lagu-lagu dari corong radio sahaja yang berkumandang. Di pertengahan jalan, Azam tiba-tiba bersuara memecah kebuntuan.

“Ira….”

“Erm..?”

“Kawan Ira tu laki-laki ke perempuan?” soal Azam masih menagih jawapan.

‘Eh abang ni… sibuk pulak dia nak tahu.. kalau lelaki kenapa? Kalau perempuan kenapa? Suka hati Irala nak kawan ngan sape pun.’ Namun kata-kata itu sekadar terluah di dalam hati Ira.

“Soalan Ira kat restoran tadi pun abang tak jawab lagi. Abang dah tanya soalan lain pulak dekat Ira.” Ira berhelah untuk melepaskan diri dari menjawab soalan Azam. Dia tahu sekiranya jawapan yang jujur diberikan pasti akan berpanjangan lagi soalan Azam.

“Soalan yang mana?” Azam keliru, cuba mengingatkan perbualan bersama Ira di restoran sebentar tadi.

“Ala, kan Ira tanya, isteri abang mana? Tak ikut balik sini sekali ke? Anak-anak abang dah berapa orang? Abang jawab soalan Ira tu dulu, baru Ira jawab soalan abang.” Tegas Ira.

Azam menghelas nafas panjang seakan mengeluh. Setelah beberapa minit barulah Azam membuka mulut.

“Anak-anak abang dua orang semunya. Lelaki seorang, perempuan seorang. Yang lelaki umurnya 2 tahun. Yang perempuan pula baru 10 bulan. Isteri dengan anak-anak abang masih di Australia. Diorang tinggal kat sana. Abang seorang aje balik sini.” Lambat-lambat sahaja Azam menghabiskan ayatnya.

“Kenapa abang tak bawak diorang balik sini? Takkan abang tinggalkan diorang kat sana macam tu je? Kalau balik sini kan ke boleh Ira kenal-kenal dengan kakak ipar Ira tu.”

Senyap. Tiada jawapan yang keluar dari mulut Azam. Dia kelihatan sedang mengelamun jauh.

“Abang….” sergah Ira.

Azam terus memberhentikan keretanya secara mengejut. Ira terdorong ke depan dan dahinya terhantuk pada dashboard kereta.

“Aduh… abang ni nak bunuh Ira ke apa? Brek mengejut macam ni”. Tangannya mengosok-gosok dahinya.

“Er, sorry. Tapi kita dah sampai dekat depan rumah Ira. Tu sebab abang brek. Salah Ira juga. Kenapa tak pakai talipinggang keledar? Talipinggang keledar tu tujuannya untuk keselamatan pemakai supaya kalau ada apa-apa terjadi, takdelah terhantuk macam Ira tadi.” Azam cuba tersenyum untuk menutup kesalahannya.

“Kalau ye pun, janganlah brek mengejut. Sakit tau dahi. Nasib baik tak benjol.” Marah Ira. ‘Dah buat sampai kepala kita terhantuk, leh buat iklan colgate lak kat sini. Aku ketuk jugak kang mamat ni.’

Ira mencapai beg tangannya dan terus membuka pintu kereta.

“Oklah bang. Terima kasih sebab belanja Ira makan tadi. Ira masuk rumah dulu ye.”

“Nanti dulu” tegah Azam.

“Kenapanya?”

“Soalan abang? Ira tak jawab lagi.”

“Er…” Ira mengundur perlahan-lahan ke belakang. “Kawan Ira tu lelaki….”

Ira terus berlari-lari anak menuju ke rumahnya. Teriakan daripada Azam yang melaung namanya langsung tidak dihiraukan. Setelah membuka pintu rumahnya dan melangkah masuk ke dalam barulah dia menoleh kepada Azam. Isyarat tangan digayakan menandakan dia sudah penat dan ingin segera tidur sebelum melambai kepada Azam. Azam membalas lambaiannya bersama sebuah senyuman dan berlalu pergi dari situ.

Melewati bilik Ekin, sayup-sayup kedengaran bunyi esakan. Ira mengintai dari celahan pintu bilik Ira yang tidak tertutup rapat. Kelihatan Ekin sedang duduk menahan sendu di atas katilnya. Sekotak tisu terletak bersebelahan, sementara di atas lantai penuh dengan tisu-tisu yang telah digunakan. Patung Stitch kegemarannya dipeluk erat ke dada.

“Ekin, pasai pa hang dok menangis lagu ni? Hang ada masalah ka? Cuba cerita dengan Ira,” ujar Ira sambil menolak daun pintu bilik Ekin. Tidak sanggup dia melihat rakan baiknya itu berkeadaan sedih seperti itu. Dia pun duduk disebelah Ekin dan meletakkan tangannya di bahu Ekin untuk memujuk.

“Jantan tu,” terang Ekin dengan esakan yang disertai perasaan marah yang amat sangat, “ jantan tak guna, masa belum dapat merayu, memujuk sakan. Bila dah dapat, sampai mengandung 2 bulan, ditinggalkan macam tu je. Umpama habis madu sepah dibuang. Keji punya jantan, tak guna, tak guna. Tapi tula, bodoh piang betui dok pi caya kat jantan.”

“Ya Allah.” Ira betul-betul berasa terkejut. Tangannya diletakkan ke mulutnya. Tidak di sangka sahabat yang dikenali mempunyai pekerti yang baik, yang cukup menjaga adab dan sopan dalam pergaulan, yang sering mengingatkan dia tentang dosa dan pahala sejak dari dulu akan menerima nasib sebegini. Tidak menyangka yang sahabatnya itu akan termakan pujuk rayu lelaki bertopengkan syaitan dan bernafsu buas.

“Ekin, pasai pa la hang jadi lagu ni? Pasai pa yang hang boleh terpedaya dengan pujuk rayu lelaki ni? Sampai hang lupa agama kita? Lupa dosa pahala? Ekin, Ekin. Nanti apa perasaan mak pak hang bila dengar pasal ni?” Ira mula berkhutbah kepada Ekin.

“Wooo.. woo.. woo.. cop.” Ekin mencelah. “Apa yang hang dok mengarut bukan-bukan ni? Terpedaya apa? Dosa apa lak aku buat?” soal Ekin dengan muka keliru, hilang segala esak tangisnya tadi.

“Err.. tadi bukan Ekin marah kata jantan tak guna. Tinggalkan Ekin macam tu aje… lepas.. lepas.. er… lepas dia dah.. dah.. itu… ” tersangkut-sangkut Ira berkata-kata.

“Itu..itu..itu apa?” sergah Ekin.

“Lepas Ekin dah ngandung 2 bulan.” Lancar sahaja ayat itu keluar dari mulut Ira kerana terkejut setelah disergah Ekin. Mulut Ekin pula terlopong selepas mendengar butir bicara Ira.
“Astaghfirullahalazim….” Ekin menepuk dahinya. “Apa yang hang dok merepek ni Ira oi. Ekin masih waras lagi la nak pikiaq. Minta simpang benda-benda macam tu. Ekin tahu lagi pasal dosa pahala dari nak buat benda-benda haram tu. Ya Allah..” Mengucap panjang Ekin.

“Abis tu, tadi yang Ekin dok membebel pasal mengandung 2 bulan, jantan tak guna, habis madu sepah dibuang la… apa tu?” soal Ira bernada kalut. ‘Ah sudah, aku silap dengar ke?’

“Ira!!! Takkanlah Ira fikir Ekin tergamak buat perkara-perkara yang terlarang macam tu? Ira cerita pasal novel ni la.” Ujar Ekin sambil tangannya mengunjukkan sebuah novel yang sedari tadi terletak di sebelahnya.

“Ha??? Jadi, yang Ekin beriya-iya nangis tadi tu, pasal novel ni la?”

“Ha la. Sedih cerita dia, Ekin nangislah. Jantan tu watak jahat dalam cerita ni. Mula dia ajak heroin ni kahwin. Heroin ni tak nak, dia pujuk, dia pikat sampai dapat, last-last kahwin jugak. Tapi rupanya dia nak kahwin dengan heroin tu pasal nakkan harta heroin tu je. Bila dia dah dapat rampas harta heroin tu, dia tinggalkan je heroin tu macam tu aje, sedangkan heroin ni tengah mengandung anak dia 2 bulan. Sedih cerita dia, tersentuh hati Ekin ni, tu pasai la Ekin nangis.” Beriya-iya Ekin memberi penerangan.

Kini, giliran Ira pula yang menepuk dahi. ‘Aduh, malu aku.’
“Tu dah termalu la tu? Lain kali masuk bilik orang jangan main terjah aja, bagi salam dulu,” Ekin mula berceramah.
“Salah hang jugaklah. Beriya-iya nangis. Buat Ira risau aje. Pastu bila Ira tanya, pi cakap macam tu pulak. Nilah bahana bila dah gila baca novel. Emosional terbawa-bawa sampai keluar novel.” Rungut Ira semula.

“Kekeke.. oklah oklah. Ekin tahu Ira sayang Ekin.”

“Tahu takpe. Oklah Ekin, Ira pun dah mengantuk. Ira masuk tidur dulu ye.”

“Huarghh… Assalamualaikum, selamat malam.”

“Eh Ira… ira….” Laung Ekin, tapi Ira telah pun berlalu masuk ke dalam biliknya.

Masuk sahaja ke dalam biliknya, Ira terus merebahkan diri ke atas katil. Macam-macam hal yang telah berlaku pada hari itu cukup untuk membuatkan akal fikirannya berasa penat.

Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia