Ira sedang duduk menunggu kedatangan Azam di ruang tamu rumah sewanya ketika Ekin menyapa Ira.

“Amboi hang. Wangi-wangi ni nak pi mana? Nak pi jumpa boypren ka? Hai, orang tengah kemaruk bercinta ni, tiap-tiap malam nak jumpa. Kahwin ajelah,” usik Ekin.

“Nak pi menikah la ni. Kejap lagi Zaim mai. Kami nak pi menikah kat siam,” balas Ira selamba.

“Banyakla hang punya menikah kat siam. Masin mulut tu kang, baru hang tau. Menikah la hang sungguh-sungguh kat Siam.” Ekin mencemik bibir ke arah Ira. “Betul-betul la, hang nak pi mana?”

“Keluar dengan kawan lama kejap, kawan masa kecil kat kampung dulu” terang Ira lambat-lambat. Faham benar dia dengan perangai Ekin. Selagi tidak dapat jawapan yang sebenarnya selagi itulah dia akan mendesak Ira untuk mendapatkan jawapan.

“Ooohh.. kawan ma…” kata-kata Ekin terhenti apabila hon kereta kedengaran.

“Ha.. dah sampai pun. Oklah Ekin, Ira pergi dulu ye.. babai.” Ira terus bergegas keluar rumah. Bukanlah kerana dia tidak sabar untuk bertemu dengan Azam, tapi kerana hendak mengelakkan soal jawab berpanjangan dengan Ekin.

Azam yang melihat kelibat Ira keluar dari sebalik pintu rumah sewanya bingkas keluar dari kereta dan membukakan pintutempat duduk di sebelah pemandu untuk Ira.

“Er…” Azam memandang Ira dari atas ke bawah.

“Kenapa abang pandang Ira macam tu?” soal Ira kehairanan. ‘Aku pakai baju terbalik ke? Ke aku lupa zip seluar?’ Ira mula rasa gelisah dengan pandangan Azam. Namun setelah melihat pemakaian Azam yang begitu kemas dengan slack, kemeja bercorak kotak dan lengkap berblazer berbanding dengan dirinya yang janya memakai jeans dan t-shirt, dia rasa dia faham maksud pandangan Azam tu.

“Ala bang… kena pakai formal ke? Nak Ira tukar baju ke?”

Azam sekadar senyum dan menjawab, “No, it’s ok. Salah abang juga sebab tak beritahu Ira awal-awal kita nak kemana.”

Azam kemudiannya menanggalkan blazernya, dan menggulung lengan kemejanya sehingga ke paras siku supaya kelihatan lebih kasual. Ira hanya memerhatikan tindak-tanduk Azam dengan pelbagai tanda tanya.

“So, shall we go now?” soal Azam sambil mempelawa Ira masuk ke dalam kereta.

“Ok,” balas Ira pendek.

Kereta mula bergerak meninggalkan kawasan perumahan Ira.

“Abang sebenarnya dah tempah meja untuk kita dinner di M Suite, lupa pula nak beritahu Ira awal-awal. Lupa dengan habit adik abang ni yang lebih gemar berpakaian kasual. Tapi nampaknya sekarang kena ubah rancangan, sebab abang pasti Ira tentu tak nak ke sana dengan pakaian begini kan?” jelas Azam sekaligus memecahkan kesunyian di dalam kereta itu.

“Oh..” Hanya itu yang terluah dari mulut Ira. ‘Manalah aku nak tahu kalau tak bagitau awal-awal,’ ngomel hati Ira.

Lima belas minit kemudian, Azam memberhentikan keretanya tidak jauh dari sebuah restoran. Setelah memastikan yang keretanya telah diparkir dengan baik, dia pun mematikan enjin keretanya.

“Ira… kalau kita makan kat sini ok ke? Abang tak berapa sure le nak pergi mana kat area JB ni. Atau Ira nak cadangkan tempat lain?” soal Azam. Sejak dari kecil lagi, Azam memang cukup mengambil berat tentang kehendak dan keselesaan Ira.

Ira memalingkan kepalanya melihat kea rah restoran yang dimaksudkan Azam.

‘Sanggar Selera?? That surely sound familiar.’ hatinya mengomel lagi.

Namun oleh kerana malas hendak memeningkan kepala, Ira hanya mengikut sahaja cadangan Azam untuk menjamu selera disitu.

“Kat sini pun oklah abang. Ira pun belum pernah cuba makan kat sini.”

“Ok.. jom kita masuk ke dalam,” pelawa Azam.

Azam melihat meja di sudut yang agak terpencil sedikit di dalam restoran itu supaya dia dan Ira dapat berbual dengan lebih selesa lagi. Sebaik sahaja mereka duduk, pelayan restoran itu segera mendatangi mereka dan memberikan menu kepada mereka. Senyuman sentiasa terukir di bibir pelanggan itu. Sejurus kemudian dia beredar dari meja itu untuk memberikan Ira dan Azam ruang untuk membuat pilihan. Ira memandang sekilas ke sekeliling restoran.

Dekorasi restoran itu ringkas sahaja tapi tetap tampak elegan dan menarik hati. Dindingnya bercat dengan warna yang agak lembut dan dihiasi dengan gambar-gambar pemandangan menjadikan sejuk mata memandang. Di tengah-tengah restoran itu pula terdapat sebuah akuarium yang agak panjang dan kira-kira dua kaki lebarnya dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan laut diletakkan secara memanjang diatas kabinet kayu yang berukir, seolah-olah membentuk satu penghadang disitu. Di kiri kanan akuarium itu pula diletakkan meja makan. Jadi pelanggan dapat menjamu selera sambil menikmati keindahan akuarium.

‘Cantik, layanan pun bagus,’ omel hati Ira. ‘Lain kali nak ajak Zaim datang sinilah, sure romatik.. hihihihi.’

“Ira nak makan apa?” soal Azam sekaligus memerhatikan lamunan Ira.

“Ha.. abang tanya apa tadi?” soal Ira kembali.

“Hai, adik abang ni memang le kuat berangan betul. Dari dulu tak berubah-ubah rupanya. Abang tanya, Ira nak makan apa?”

“Oh.. er.. Ira nak makan kuew teow tomyam la. Minum pulak fresh orange.”

“Ok.” Azam lantas memanggil pelayan restoran itu untuk mengambil pesanan mereka.

“Ye encik, nak pesan apa?” soal pelayan itu penuh sopan.

“Erm.. kuew teow tomyam satu, nasi goreng daging merah satu, fresh orange dua.” Azam membuat pesanan.

“Ok, ada apa-apa lagi nak tambah encik?”

“Takde, itu saja. Thanks.”

Pelayan itu menganggukkan kepalanya dan terus beredar ke dapur membawa pesanan Azam dan Ira.

Ira dan Azam berbual-bual terlebih dahulu sementara menunggu pesanan mereka tiba. Sedikit sebanyak Ira dari perbualan mereka Ira dapat mengetahui apa yang telah berlaku pada Azam. Namun satu yang memusykilkan hati Ira, sepanjang perbualan mereka, Azam langsung tidak menyentuh pasal isterinya.

“Abang, isteri abang mana? Dia tak ikut balik sekali ke? Berapa orang dah anak abang?” Ringan sahaja mulut Ira bertanya.

Riak wajah Azam terus berubah apabila diajukan soalan sebegitu, mujurlah makanan yang dipesan mereka tiba pada waktu itu.

“Ha.. dah sampai pun makanan. Makan dulu jom, makan panas-panas baru best.” Azam mengambil kesempatan itu untuk mengabaikan soalan Ira. Tetapi, helah Azam itu tidak menjadi. Baru sesuap dua makanan mencecah ke mulutnya, Ira sudah mula mengajukan soalan yang sama lagi.

“Abang tak jawab lagi soalan Ira tadi.” Ujar Ira tidak berpuas hati.

“Ira… kalau makan tak baik bercakap. Kan ke mulut tengah penuh tu...”

“Ala bang… Ira cuma nak…. Uhuk..uhuk.” Ira tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila dia tiba-tiba tersedak. “Air.. air.”

“Baru je tadi abang tegur. Degil, kan dah tersedak”

Azam menghulurkan air minuman kepada Ira. Dengan rakus Ira menegur air itu sehingga separuh segelas.

“Abang la, orang tanya tak nak jawab…. Cuba kalau…” sekali lagi ayat Ira terhenti apabila seseorang menghampiri meja mereka.

“Eh, Ira ada di sini?”

Ira mendongakkan kepalanya untuk melihat pemilik suara. Alangkah terkejutnya dia apabila terlihat En. Hamid sedang berdiri di sebelahnya.

‘Ya Allah, macam mana orang tua gatal ni boleh ada kat sini?’

“Er, Uncle. Apa khabar? Uncle pun datang makan dekat sini jugak ke?” soal Ira cuba beramah.

“Ira.. my dear. Inikan restoran A..” kata-kata En. Hamid termati apabila menyedari Azam ada bersama mereka disitu, dia kemudian pantas menyambung, “restoran milik Uncle. Tak ingat? Sanggar Selera? Tempoh hari bukan ke Ira yang buatkan pamphlet untuk Uncle.”

“Oh… patutlah macam pernah dengar je nama restoran ni. Ira lupa le Uncle,” sambil menepuk dahi. ‘Isk, macam mana la aku boleh lupa, kalau tidak, minta maaflah aku nak masuk restoran ni.’

Ira tetap memaniskan roman mukanya. Walau macam manapun En. Hamid tetap papa Zaim. Jadi baik atau buruknya dia kenalah terima. Bagaimana hendak jadi menantu kalau mentuanya dibenci. Bila dah jadi mentua dia nanti, takkanlah dia hendak lari-lari lagi dari bersemuka dengan En. Hamid. Tentu rumahtangga dia dengan Zaim akan jadi haru biru nanti. Sungguh jauh fikiran Ira melayang.

“Tak nak kenalkan ke Uncle dengannn….” En. Hamid menjeling ke arah Azam. Ada nada cemburu dalam suaranya.

“Azam, saya teman lelaki Ira.” Azam memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan. Tersentak En. Hamid mendengar kata-kata Azam, huluran tangan disambut lambat-lambat.

“Aha ha ha. Abang Azam memang suka bergurau. Sebenarnya Uncle, Abang Azam ni kawan Ira dari kecik. Dah macam abang kandung Ira sendiri.” Cepat-cepat Ira memperbetulkan keadaan. ‘Apalah abang Azam ni, suka suki dia je ngaku teman lelaki. Kalau dengar dekat Zaim, mampus aku.’

“Ira..” ternyata Azam tidak berpuas hati dengan penjelasan Ira, namun cepat-cepat Ira menukar topik perbualan.

“Sedap ye makanan kat sini, patutlah restoran Uncle ramai pelanggan.”

“Ah?? Ah ye.. tukang masak di sini semuanya Uncle bawa khas dari Bangkok. Oklah Ira, Uncle ada kerja sikit di kaunter. Selamat menjamu selera”. En. Hamid menghadiahkan senyuman manis buat Ira, dan apabila dia berpaling pada Azam, senyumannya menjadi sinis dan pada sinar pandangan matanya seolah-olah cuba mengatakan, ‘Teman lelaki Ira konon.. huh’ dan terus berlalu dari meja itu.

“Siapa tu?” soal Azam sebaik sahaja En. Hamid beredar.

“Er.. tu ayah kawan Ira. Kawan dekat Universiti.”

“Kawan? Lelaki ke perempuan?”

“Abang, tengah makan tak baik bercakap, nanti tersedak.” Ira memulangkan paku buah keras.

“Oh… pandailah dia tu, bila dia bercakap takpe pulak.”

Malas hendak membalas, Ira sekadar tersenyum sambil menunjukkan pinggan makanan Azam dan membuat isyarat menyuruh Azam makan. Mujurlah Azam tidak berterusan menyoal. Dia menyambung kembali suapannya yang terhenti tadi apabila dilihatnya Ira tidak berminat untuk menjawab soalannya. Sedikit sebanyak Ira berasa lega walaupun nasi yang disuapnya terasa bagaikan pasir masuk ke kerongkong.

Selesai makan, Ira terus meminta Azam menghantarnya pulang dengan alasan dia merasa letih kerana terlalu banyak kerja yang hendak disiapkan di pejabat siang tadi. Azam menurut sahaja. Selepas membuat pembayaran, Azam meminta diri untuk ke tandas sebentar dan meminta Ira menunggunya di luar restoran.

Pada ketika inilah Ira terasa bagaikan terdapat satu pandangan tajam menikam dirinya. Apabila Ira menoleh ke kanan dia terlihat Pn. Normah, mama Zaim, sedang memerhatikannya. Ira baru hendak membuka mulut menegur tetapi Pn. Normah telah pun berlalu masuk ke dalam restoran tanpa mempedulikan Ira.

~~~~~~~~

Dalam perjalanan pulang ke rumah, Ira dan Azam lebih banyak membisu. Hanya lagu-lagu dari corong radio sahaja yang berkumandang. Di pertengahan jalan, Azam tiba-tiba bersuara memecah kebuntuan.

“Ira….”

“Erm..?”

“Kawan Ira tu laki-laki ke perempuan?” soal Azam masih menagih jawapan.

‘Eh abang ni… sibuk pulak dia nak tahu.. kalau lelaki kenapa? Kalau perempuan kenapa? Suka hati Irala nak kawan ngan sape pun.’ Namun kata-kata itu sekadar terluah di dalam hati Ira.

“Soalan Ira kat restoran tadi pun abang tak jawab lagi. Abang dah tanya soalan lain pulak dekat Ira.” Ira berhelah untuk melepaskan diri dari menjawab soalan Azam. Dia tahu sekiranya jawapan yang jujur diberikan pasti akan berpanjangan lagi soalan Azam.

“Soalan yang mana?” Azam keliru, cuba mengingatkan perbualan bersama Ira di restoran sebentar tadi.

“Ala, kan Ira tanya, isteri abang mana? Tak ikut balik sini sekali ke? Anak-anak abang dah berapa orang? Abang jawab soalan Ira tu dulu, baru Ira jawab soalan abang.” Tegas Ira.

Azam menghelas nafas panjang seakan mengeluh. Setelah beberapa minit barulah Azam membuka mulut.

“Anak-anak abang dua orang semunya. Lelaki seorang, perempuan seorang. Yang lelaki umurnya 2 tahun. Yang perempuan pula baru 10 bulan. Isteri dengan anak-anak abang masih di Australia. Diorang tinggal kat sana. Abang seorang aje balik sini.” Lambat-lambat sahaja Azam menghabiskan ayatnya.

“Kenapa abang tak bawak diorang balik sini? Takkan abang tinggalkan diorang kat sana macam tu je? Kalau balik sini kan ke boleh Ira kenal-kenal dengan kakak ipar Ira tu.”

Senyap. Tiada jawapan yang keluar dari mulut Azam. Dia kelihatan sedang mengelamun jauh.

“Abang….” sergah Ira.

Azam terus memberhentikan keretanya secara mengejut. Ira terdorong ke depan dan dahinya terhantuk pada dashboard kereta.

“Aduh… abang ni nak bunuh Ira ke apa? Brek mengejut macam ni”. Tangannya mengosok-gosok dahinya.

“Er, sorry. Tapi kita dah sampai dekat depan rumah Ira. Tu sebab abang brek. Salah Ira juga. Kenapa tak pakai talipinggang keledar? Talipinggang keledar tu tujuannya untuk keselamatan pemakai supaya kalau ada apa-apa terjadi, takdelah terhantuk macam Ira tadi.” Azam cuba tersenyum untuk menutup kesalahannya.

“Kalau ye pun, janganlah brek mengejut. Sakit tau dahi. Nasib baik tak benjol.” Marah Ira. ‘Dah buat sampai kepala kita terhantuk, leh buat iklan colgate lak kat sini. Aku ketuk jugak kang mamat ni.’

Ira mencapai beg tangannya dan terus membuka pintu kereta.

“Oklah bang. Terima kasih sebab belanja Ira makan tadi. Ira masuk rumah dulu ye.”

“Nanti dulu” tegah Azam.

“Kenapanya?”

“Soalan abang? Ira tak jawab lagi.”

“Er…” Ira mengundur perlahan-lahan ke belakang. “Kawan Ira tu lelaki….”

Ira terus berlari-lari anak menuju ke rumahnya. Teriakan daripada Azam yang melaung namanya langsung tidak dihiraukan. Setelah membuka pintu rumahnya dan melangkah masuk ke dalam barulah dia menoleh kepada Azam. Isyarat tangan digayakan menandakan dia sudah penat dan ingin segera tidur sebelum melambai kepada Azam. Azam membalas lambaiannya bersama sebuah senyuman dan berlalu pergi dari situ.

Melewati bilik Ekin, sayup-sayup kedengaran bunyi esakan. Ira mengintai dari celahan pintu bilik Ira yang tidak tertutup rapat. Kelihatan Ekin sedang duduk menahan sendu di atas katilnya. Sekotak tisu terletak bersebelahan, sementara di atas lantai penuh dengan tisu-tisu yang telah digunakan. Patung Stitch kegemarannya dipeluk erat ke dada.

“Ekin, pasai pa hang dok menangis lagu ni? Hang ada masalah ka? Cuba cerita dengan Ira,” ujar Ira sambil menolak daun pintu bilik Ekin. Tidak sanggup dia melihat rakan baiknya itu berkeadaan sedih seperti itu. Dia pun duduk disebelah Ekin dan meletakkan tangannya di bahu Ekin untuk memujuk.

“Jantan tu,” terang Ekin dengan esakan yang disertai perasaan marah yang amat sangat, “ jantan tak guna, masa belum dapat merayu, memujuk sakan. Bila dah dapat, sampai mengandung 2 bulan, ditinggalkan macam tu je. Umpama habis madu sepah dibuang. Keji punya jantan, tak guna, tak guna. Tapi tula, bodoh piang betui dok pi caya kat jantan.”

“Ya Allah.” Ira betul-betul berasa terkejut. Tangannya diletakkan ke mulutnya. Tidak di sangka sahabat yang dikenali mempunyai pekerti yang baik, yang cukup menjaga adab dan sopan dalam pergaulan, yang sering mengingatkan dia tentang dosa dan pahala sejak dari dulu akan menerima nasib sebegini. Tidak menyangka yang sahabatnya itu akan termakan pujuk rayu lelaki bertopengkan syaitan dan bernafsu buas.

“Ekin, pasai pa la hang jadi lagu ni? Pasai pa yang hang boleh terpedaya dengan pujuk rayu lelaki ni? Sampai hang lupa agama kita? Lupa dosa pahala? Ekin, Ekin. Nanti apa perasaan mak pak hang bila dengar pasal ni?” Ira mula berkhutbah kepada Ekin.

“Wooo.. woo.. woo.. cop.” Ekin mencelah. “Apa yang hang dok mengarut bukan-bukan ni? Terpedaya apa? Dosa apa lak aku buat?” soal Ekin dengan muka keliru, hilang segala esak tangisnya tadi.

“Err.. tadi bukan Ekin marah kata jantan tak guna. Tinggalkan Ekin macam tu aje… lepas.. lepas.. er… lepas dia dah.. dah.. itu… ” tersangkut-sangkut Ira berkata-kata.

“Itu..itu..itu apa?” sergah Ekin.

“Lepas Ekin dah ngandung 2 bulan.” Lancar sahaja ayat itu keluar dari mulut Ira kerana terkejut setelah disergah Ekin. Mulut Ekin pula terlopong selepas mendengar butir bicara Ira.
“Astaghfirullahalazim….” Ekin menepuk dahinya. “Apa yang hang dok merepek ni Ira oi. Ekin masih waras lagi la nak pikiaq. Minta simpang benda-benda macam tu. Ekin tahu lagi pasal dosa pahala dari nak buat benda-benda haram tu. Ya Allah..” Mengucap panjang Ekin.

“Abis tu, tadi yang Ekin dok membebel pasal mengandung 2 bulan, jantan tak guna, habis madu sepah dibuang la… apa tu?” soal Ira bernada kalut. ‘Ah sudah, aku silap dengar ke?’

“Ira!!! Takkanlah Ira fikir Ekin tergamak buat perkara-perkara yang terlarang macam tu? Ira cerita pasal novel ni la.” Ujar Ekin sambil tangannya mengunjukkan sebuah novel yang sedari tadi terletak di sebelahnya.

“Ha??? Jadi, yang Ekin beriya-iya nangis tadi tu, pasal novel ni la?”

“Ha la. Sedih cerita dia, Ekin nangislah. Jantan tu watak jahat dalam cerita ni. Mula dia ajak heroin ni kahwin. Heroin ni tak nak, dia pujuk, dia pikat sampai dapat, last-last kahwin jugak. Tapi rupanya dia nak kahwin dengan heroin tu pasal nakkan harta heroin tu je. Bila dia dah dapat rampas harta heroin tu, dia tinggalkan je heroin tu macam tu aje, sedangkan heroin ni tengah mengandung anak dia 2 bulan. Sedih cerita dia, tersentuh hati Ekin ni, tu pasai la Ekin nangis.” Beriya-iya Ekin memberi penerangan.

Kini, giliran Ira pula yang menepuk dahi. ‘Aduh, malu aku.’
“Tu dah termalu la tu? Lain kali masuk bilik orang jangan main terjah aja, bagi salam dulu,” Ekin mula berceramah.
“Salah hang jugaklah. Beriya-iya nangis. Buat Ira risau aje. Pastu bila Ira tanya, pi cakap macam tu pulak. Nilah bahana bila dah gila baca novel. Emosional terbawa-bawa sampai keluar novel.” Rungut Ira semula.

“Kekeke.. oklah oklah. Ekin tahu Ira sayang Ekin.”

“Tahu takpe. Oklah Ekin, Ira pun dah mengantuk. Ira masuk tidur dulu ye.”

“Huarghh… Assalamualaikum, selamat malam.”

“Eh Ira… ira….” Laung Ekin, tapi Ira telah pun berlalu masuk ke dalam biliknya.

Masuk sahaja ke dalam biliknya, Ira terus merebahkan diri ke atas katil. Macam-macam hal yang telah berlaku pada hari itu cukup untuk membuatkan akal fikirannya berasa penat.

0 comments:

Post a Comment

Hakcipta Terpelihara

Semua karya di dalam blog ini adalah hak cipta terpelihara. Penggunaan mana-mana karya di sini adalah dilarang kecuali oleh penulis.

About Me

My photo
orang biasa-biasa aje.... :D

Pembaca Setia

Traffic Light

Powered By Blogger